PELAKON dan usahawan kosmetik, Wawa Zainal dikecam netizen gara-gara memuat naik sebuah video di laman TikTok yang memaparkan dirinya melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
Menerusi video tersebut, Wawa atau nama sebenar Nur Hawa Zainal Abidin,31, dilihat berada di tempat awam dengan menggayakan busana serba hitam sambil berjalan persis seorang model tanpa memakai pelitup muka.
Bagaimanapun, isteri kepada pelakon Aeril Zafrel itu difahamkan sedang terlibat dengan sebuah sesi fotografi tudung yang berlangsung di ibu kota berdekatan dengan pusat beli-belah di Jalan Bukit Bintang.
Aksi Wawa yang dilihat dengan selamba tidak memakai pelitup muka itu membuatkan netizen berasa kurang senang dengan tindakannya lalu meninggalkan komen berbaur kritikan di media sosialnya.
“Yang pasti dia ni bukan dekat Malaysia. Sebab Malaysia wajib kena pakai mask, mungkin ini di Pluto,” komen @Izanifsahie.
“Oh patutlah kes makin naik, salah satu punca,” @ ujar @jahbfxnx.
Meskipun teruk dihentam, namun ada juga segelintir warganet mempertahankan tindakan Wawa yang hanya membuka pelitup muka sewaktu penggambaran.
“Mungkin dia buka masa ambil video je, lepas itu dia pakai balik,” kata @deokkii_.
“Lepas rakam ni nanti dia pakai la balik pelitup muka dia, aduh korang ini ,” tulis @skie.