Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) dengan Little Caliph International Sdn Bhd yang akan menampilkan kerjasama dua hala antara universiti dan pusat taman didikan kanak-kanak (tadika) tersebut untuk melaksanakan program akademik mod 2u2i dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-kanak.
Menurut Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff, kerjasama antara UPSI dan Little Caliph International Sdn. Bhd., akan dapat mewujudkan perkongsian pintar dari aspek pengetahuan, kemahiran, pengalaman, dan kepakaran bagi bidang Pendidikan Awal Kanak-kanak.
“Sejajar dengan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk merealisasikan misi dan visi negara dalam melahirkan modal insan cemerlang secara holistik dalam memperkasakan kualiti program akademik Pendidikan Awal Kanak-kanak di UPSI sebagai hub Pendidikan Awal Kanak-Kanak Negara dalam menyediakan pedagogi yang seiring dengan keperluan semasa,” jelasnya semasa ucapan aluan ketika menandatangani dokumen perjanjian di Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City.
Menurutnya lagi, program ini menggunapakai kaedah pengajaran dan pembelajaran berteraskan work based learning yang memberi peluang kepada pelajar untuk merasai pengalaman pekerjaan sebenar di industri dalam bidang yang mereka terokai.
“Termeterainya perjanjian ini sekaligus menjadi pemangkin yang berupaya menghimpunkan ahli akademik dan ahli industri bagi memulakan projek atau kerjasama yang berbentuk domestik serta antarabangsa. Bukan itu saja, melalui program ini diharapkan bakal melahirkan graduan yang berkemahiran dan berketrampilan untuk membimbing, mendidik dan mengasuh kanak-kanak,” katanya.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Little Caliph International Sdn Bhd, Datuk Roslan Nordin, menyambut baik kerjasama strategik bersama UPSI yang dilihat seiring dengan hasrat Little Caliphs International menyediakan guru-guru terlatih menuju 500 pembukaan pusat tadika syarikatnya.