GARA-gara Mia Sara,17, mengulas mengenai kehidupan peribadinya, pelakon Puteri Balqis,15, tampil memberi teguran secara terbuka buat pelakon muda itu.
Menerusi perkongsian di Instagram Balqis, dia meluahkan rasa terkilan dan terguris hati dengan apa yang diperkatakan Mia terhadap kehidupan peribadinya.
Lebih teruk lagi, pendapat Mia yang menjawab soalan daripada pengguna TikTok itu telah mencetuskan perasaan kebencian terhadap Balqis.
“Saya baru mendapat tahu mengenai hal ini, mengapa selebriti ‘budak-budak’ (Mia Sara) ini menulis buruk tentang saya dan kehidupan saya dalam TikTok serta meninggakan komen umum? Baiknya diri anda.
“Saya disumpah seranah oleh beribu orang selepas dia meninggalkan komen tentang diri saya. Sejujurnya, apa yang ditulisnya sangat melukakan hati saya,” katanya.
Walaupun orang ramai memandang rendah terhadap ibunya, Norashikin Mohd. Aziz ekoran daripada beberapa kontroversi sebelum ini, Balqis menegaskan dirinya telah diasuh dengan didikan yang secukupnya sejak kecil lagi.
Malah, Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Televisyen Asia 2014 itu berpendapat, imej Mia yang berhijab bukan menjadi asbab dia dibenarkan mengkritik kehidupan orang lain tanpa mengetahui jalan cerita yang sebenar.
“Saya dibesarkan untuk tidak bercakap perkara buruk tentang orang lain sekalipun hati saya disakiti. Saya dibesarkan untuk tidak memuat naik foto rupa yang hanya cantik tanpa memberi ilmu pengetahuan kepada penyokong dan kawan-kawan.
“Saya tidak pernah dibesarkan menggunakan tudung sebagai alasan bercakap perkara yang bukan-bukan di belakang media sosial dan demi publisiti. Saya adalah siapa diri saya,” jelasnya lagi.
Bahkan, Balqis turut menegur nahu dan tatabahasa Inggeris Mia perlu diperbaiki dengan lebih baik sebelum bercakap tentang dirinya dan menasihati supaya berfikir dahulu sebelum bertindak.
“Dengan penuh rasa hormat, tolong betulkan tatabahasa anda sebelum mengata tentang diri saya.
“Ibu saya merupakan pakar sebenar-benarnya dalam mendidik saya dengan penguasaan Inggeris yang baik. Kami tak guna bahasa ‘rempit’ TikTok yang anda gunakan dalam platform media sosial berkenaan dan juga Twittter.
“Melalui lafaz lidah yang dizahirkan, manusia berbahagia. Melalui lafaz perbuatan yang dizahirkan, manusia menderita,” akhirinya.
Terdahulu, menerusi aplikasi TikTok, Mia telah memberi komen berkaitan kehidupan peribadi Balqis selepas ditanya oleh pengguna laman sosial terbabit.
“Dia (Balqis) tidak dididik dengan gaya hidup Islamik sejak kecil, nak tegur silakan tapi usah letakkan kesalahan di bahunya,” Ujar Mia.
Bagaimanapun, pendapat terbukanya itu telah menyebabkan imej dan nama Balqis tercalar dan dia tampil membela dakwaannya itu bukan berniat untuk memburukkan pelakon itu.
“Ada saya cakap keluarga dia (Balqis) teruk ? saya cuma cakap jangan hakimi dia sebab tak semua dibesarkan dengan agama. Sebaliknya, tegurlah dia elok-elok,” jelasnya lagi.
Sebelum ini, Balqis menjadi bualan netizen apabila penampilannya yang berpakaian skirt pendek dan berstoking ‘fishnet’ telah mengejutkan warganet dan menyelar gaya hidupnya yang dilihat terlalu bebas.