PASANGAN pelakon popular Korea Selatan, Hyun Bin dan Son Ye-Jin mengumumkan berita gembira bahawa mereka bakal melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi.

Khabar gembira itu dimaklumkan sendiri oleh Ye-jin di laman Instagramnya bersama dengan muat naik foto gaun perkahwinan berona putih versi mini, semalam.

“Saya berfikir panjang bagaimana cara untuk berkongsi cerita ini kerana ianya adalah sesuatu yang sangat penting.

“Saya menemui seseorang untuk menghabiskan sisa hidup saya. Ya… dia (Hyun Bin) lah orangnya,” tulisnya.

Tambah pelakon drama Crash Landing On You itu lagi, dia menggangap pertemuannya bersama Hyun Bin adalah sebuah takdir dan meluahkan rasa teruja untuk membina masa depan bersama pilihan hatinya itu.

“Lelaki bertemu perempuan, mengenali satu sama lain dalam khalayak ramai, berjanji untuk membina masa depan bersama. Saya tidak dapat bayangkan!

“Ia berlaku secara semulajadi, tetapi bukankah itu takdir? Hanya dengan dia, saya rasa dilindungi. Mohon bersama-sama meraikan permulaan untuk masa depan kami,” ujarnya.

Dalam pada itu, agensi Hyun Bin iaitu Vast Entertainment turut mengeluarkan kenyataan mengenai percintaan pasangan sama cantik sama padan ini.

“Hello, ini ialah VAST Entertainment. Kami ingin menyampaikan berita berkaitan perkahwinan Hyunbin yang dilaporkan hari ini.

“Pelakon Hyun Bin dan Ye-jin akan mengambil langkah pertama sebagai pasangan yang mencintai antara satu sama lain nanti.

“Mereka berdua akan mengadakan perkahwinan di sebuah tempat di Seoul pada Mac. Memandangkan waktu yang sukar ini kerana COVID-19, kami ingin memohon kefahaman daripada anda,” ujar agensi.

Hyun Bin dan Ye-Jin sering digandingkan sebagai pasangan kekasih dalam drama lakonan yang dibintangi.

Pada 1 Januari 2021, mereka mengesahkan sedang dilamun cinta sekaligus menjawab segala teka-teki yang bertebaran mengenai sejauh mana hubungan mereka.