Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin GAMBAR: Abd Razak Aid

NAMPAKNYA pertembungan dua bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin semakin panas apabila kedua-dua mereka saling ‘menyerang’ antara satu sama lain.

Terbaharu, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membidas Najib mengenai isu dana SRC International Sdn Bhd (SRC).

Dalam perkongsian menerusi Facebook, Muhyiddin memuat naik bukti-bukti pengunaan duit dana tersebut yang dianggapnya bukan CSR.

“RM449,586.95 untuk bayar Kad Kredit Visa Platinum Najib; RM2,833,147.21 untuk bayar kad kredit Mastercard Platinum Najib.

“RM240,000 dibayar kepada Vital Spire Sdn Bhd milik seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Johor untuk mengendalikan sebuah portal online; RM2.5 juta dibayar kepada sebuah firma guaman untuk kerja-kerja ‘political intelligence’.

“RM238,914 dibayar kepada seorang Tan Sri untuk kerja-kerja mempromosi Ah Jib Gor kepada masyarakat Cina; RM100,000 dibayar kepada seorang kontraktor untuk membina bilik stor kediaman peribadinya di Kuala Lumpur.

“RM56,500 dibayar kepada sebuah syarikat plumbing untuk kerja-kerja pemasangan tangki air di kediaman peribadinya di Kuala Lumpur; RM77,300 dibayar kepada seorang kontraktor untuk membaiki kediaman peribadinya di Pekan.

“Puluhan juta ringgit lagi untuk lain-lain kegunaan peribadi dan politik. ​Ya, adalah juga duit yang diberi kepada anak-anak yatim tetapi jumlahnya tak seberapa jika dibandingkan untuk kegunaan peribadi dan politik.

“Ini tak termasuk RM4 bilion duit Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) yang dipinjamkan kepada SRC yang lesap entah ke mana,” katanya hari ini.

Baca artikel berkaitan: Perang Facebook Muhyiddin – Najib

Menurut Muhyiddin, kesemua bukti tersebut menunjukkan yang dakwaan Najib berkenaan dana SRC digunakan untuk sedekah hanya omongan kosong sahaja.

Katanya, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan juga mendapati Najib merampok syarikat SRC daripada wang rakyat.

“Inilah CSR Najib – Crook’s Self en-Richment! Sedekah kepada diri sendiri. Najib berulang kali tuduh saya khianat. Tapi tak ada satu mahkamah pun menjatuhi hukuman bersalah ke atas saya.

“Dia juga tanya berapa wang yang saya belanjakan untuk rakyat? Sepanjang jadi PM, RM530 bilion saya sediakan untuk rakyat dalam macam-macam bentuk pakej bantuan dan rangsangan ekonomi. Satu sen pun tak masuk akaun saya.

“Bukan macam dia, berbilion masuk akaun sendiri. Itulah dia bos awak,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram