Pada zaman awal Islam, tidak ada larangan penggunaan emas di kalangan lelaki. Oleh itu baginda s.a.w. memakai cincin emas. Melihat Baginda memakai cincin dari emas, maka para sahabat turut membuat cincin dari emas juga.

Pada suatu hari, ketika sedang berkhutbah dia di hadapan para sahabat, maka Baginda pun membuang cincin tersebut. Hal ini telah diceritakan oleh Ibnu Umar r.a. katanya,

“Nabi s.a.w. memakai cincin emas, lantas para sahabat juga membuat cincin emas. Maka Baginda pun bersabda, “sungguh aku dahulu memang memakai cincin emas.” Lantas beliau membuangnya dan bersabda, “sekali-kali aku tidak bakal memakainya lagi.” maka para sahabat juga membuang cincin mereka. (HR Bukhari)

Bagi kaum lelaki, haram bagi mereka memakai emas sebagai perhiasan diri. Hanya wanita sahaja yang berhak memakai cincin atau perhiasan dari emas. Bukan sekadar cincin, malahan pena emas, jam emas, gigi emas, gelang emas, penghidup api rokok emas dan apa sahaja yang mengandungi emas tetap haram bagi lelaki.

Ali bin Abi Talib r.a. pernah menyatakan bahawa,

“Rasulullah mengambil sutera. Ia diletakkan di sebelah kanannya dan ia mengambil emas kemudian diletakkan di sebelah kirinya, lantas ia berkata, kedua-dua ini haram buat orang laki-laki dari umatku. (HR Ahmad, Abu Daud, Nasai)

Bagaimana dengan memakai cincin dari emas putih dan suasa? Hukumnya, ia tetap haram kerana keduanya mengandungi emas, walaupun bukan sepenuhnya. Emas putih merupakan campuran logam emas dengan logam-logam yang lain dalam kuantiti yang berbeza. Begitu juga dengan suasa, ia terhasil melalui campuran bahan emas dan tembaga di mana kuantiti emas adalah lebih besar dari kuantiti tembaga.

Walaupun emas dan suasa adalah haram tetapi lelaki boleh memakai cincin yang diperbuat daripada perak, platinum atau logam yang lain. Bahkan mereka juga boleh menggunakan batu-batu permata dari pelbagai jenis seperti zamrud, delima, nilam dan sebagainya asalkan tidak disertai dengan kepercayaan karut.

Sebelum kita memakai cincin, perlu kita fahami dahulu mengapa perlu kita memakainya. Adakah kerana untuk tujuan bermegah-megah, menarik perhatian, perhiasan diri atau kerana untuk mengikut sunnah nabi s.a.w.

Sekiranya untuk mendapatkan pujian, kekuatan, kekayaan atau menarik perhatian, lebih baik tidak dilakukan kerana ditakuti akan menambah lagi dosa. Tetapi jika kerana ingin mengikut sunnah maka ia dialu-alukan. Ala kulli hal, niat itu yang penting.

Kuasa Sebiji Batu

Membicarakan tentang pemakaian cincin, mahu atau tidak, kita tidak dapat lari dari membincangkan berkaitan masyarakat kini, yang terlalu percaya dan obses dengan batu-batu cincin yang dijual di pasaran.

Mereka percaya bahawa sesetengah batu mampu memberikan tindak balas yang hebat terutama pada tubuh. Ada yang mendakwa dengan menggunakan batu ini sebagai cincin, ia dapat memberikan tenaga yang berpanjangan, menyembuhkan penyakit, menaikkan seri wajah dan berbagai lagi dakwaan-dakwaan.

Tiada bukti saintik menunjukkan pemakaian cincin dapat memberi kesan pada tubuh

Pernah juga satu ketika, sewaktu mengunjungi sebuah pasar di kawasan pantai timur, saya telah ditunjukkan dengan sebiji batu, yang kononnya mampu menyedut racun yang ada pada tubuh.

Selain itu, hebatnya batu ini, apabila direndam dalam air dan diminum, ia mampu menyembuhkan penyakit seperti demam, batuk, gatal-gatal badan dan lain-lain penyakit. Jika dibuat cincin pula, si pemakai akan terhindar dari sebarang penyakit kronik. Dalam hal ini, sejauhmana ia dapat dibuktikan dengan kajian saintifik?

Menurut Prof. Dr. Wan Fuad Wan Hassan, Pakar Perunding Jabatan Geologi Universiti Malaya, memang terdapat beberapa jenis batuan yang digunakan sebagai batu cincin antaranya batu permata, intan, nilam, zamrud, delima dan banyak lagi jenis batu.

Kesemua batu-batu ini dijadikan cincin kerana sifatnya yang keras, bentuk dan warnanya yang cantik, sukar didapati dan bernilai tinggi. Batuan ini pula berasal dari mineral yang mengandungi sifat magnet yang tinggi kerana ia terdiri dari bijih besi.

Terdapat juga batuan yang mengandungi bijih besi, mempunyai sifat magnet yang rendah dan juga tidak mempunyai sifat magnet. Kedua-dua jenis batuan dari bijih besi ini tidak sesuai dijadikan batu cincin, gelang atau perhiasan badan. Hanya batuan bijih besi yang mempunyai sifat magnet yang tinggi sahaja digunakan untuk perhiasan.

Memang benar, ada yang mendakwa sesetengah batu itu mempunyai kuasa tindak balas pada tubuh, kerana batu tersebut mempunyai sifat magnet yang tinggi. Biasanya mereka menjadikannya cincin atau gelang magnet sebagaimana yang dijual di pasaran, dan mendakwa mampu melancarkan perjalanan darah serta memberi kesihatan tubuh yang berpanjangan.

Namun tindak balas yang diberikan hanya dalam lingkungan skala yang kecil sahaja. Jika dipakai sebagai cincin atau gelang, tindakbalas yang berlaku hanya disekitar tangan bukan seluruh tubuh sebagaimana yang didakwa.

Lingkungannya pula mungkin hanya sekitar enam inci sahaja. Tiada bukti saintifik atau kajian yang menyatakan pemakaian cincin atau gelang dari batuan tertentu atau bermagnet, mampu memberikan kesihatan pada seluruh tubuh. Hal ini kerana semua jenis batuan tidak akan bertindak balas dengan tubuh secara terus, melainkan adanya unsur radioaktif atau magnet.   

Tambahnya lagi, dakwaan menyatakan batu yang direndam juga mampu menyembuhkan penyakit seperti demam, gatal-gatal tubuh atau lainnya, itu mungkin berlaku. Tetapi ia mungkin disebabkan adanya kandungan bahan kimia pada batu tersebut.

Walaubagaimanapun tiada lagi kajian saintifik yang dapat mengesahkan sejauhmana batu, mampu menyembuhkan penyakit. Ini kerana batu seperti delima, nilam, zamrud atau batu cincin lain, secara asasnya ia tidak akan terlarut dalam air disebabkan sifatnya yang keras dan padu.

Secara umumnya, kajian saintifik tidak menemukan tindakbalas secara terus boleh berlaku pada tubuh hanya dengan sebiji batu. Jika ada sekalipun, kesannya tidak akan berlaku dalam skala yang besar dan serta merta. Akan tetapi, jika melibatkan skala yang besar, mungkin ia boleh dikaitkan dengan unsur mistik dan bukan secara saintifik.

  Info

  • Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-52 telah memutuskan haram memakai emas putih bagi golongan lelaki.
  • Mesyuarat Panel Kajian Syariah JAKIM kali ke-31 pula menetapkan hukum memakai suasa bagi lelaki adalah haram.
  • Bertukar cincin di kalangan pengantin tidak ada dalam syariat Islam, bahkan ia dianggap tasyabbuh kepada orang-orang kristian.
  • Menurut al-Tabari, dalam Tarikh al-Rasul, nabi s.a.w. telah mengarahkan supaya membuat sebentuk cincin cop mohor dari besi, dan disarungkan ke jarinya. Jibril datang dan memberi arahan, “buangkan cincin itu.” Lalu dibuang dan disuruh buat yang lain dari tembaga dan dipakainya. Jibril sekali lagi datang dan menyuruh Baginda membuangnya lagi dan dibuat yang lain daripada perak. Kali ini Jibril menerimanya dan diarahkan mengukir di permukaannya perkataan Muhammad Rasulullah, dalam bentuk tiga baris.

Selepas kewafatan Baginda s.a.w. cincin tersebut telah diwariskan kepada Abu Bakar r.a. Umar r.a. dan Usman r.a. Ketika di tangan Usman r.a. inilah cincin tersebut hilang terjatuh ke dalam perigi hingga kini.

_________________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare