PELAKON Puteri Sarah Liyana memuat naik sebuah hantaran di laman Instagram yang mendedahkan dia bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang individu.

Isteri kepada pelakon dan penerbit, Syamsul Yusof itu memaklumkan sudah lama mempunyai perancangan untuk menyaman individu terbabit.

“Akhirnya. Nak sangat saman orang yang saya dah lama nak saman. Ya, jumpa anda di mahkamah,” ujarnya dalam entri terbabit.

Tambah Puteri Sarah,37, dia juga mempunyai bukti kukuh untuk mengheret dan mendakwa individu terbabit ke muka pengadilan.

“Saya minta maaf kerana tidak dapat berkongsi butiran lanjut mengenai tujuan dan tindakan saman yang bakal dibuat.

“Sebenarnya saya sudah lama bersabar dan bertahan tapi sekarang ini saya sudah mempunyai bukti kukuh untuk membawa perkara yang berlaku ke mahkamah.

“Tunggu dan lihat apa yang bakal saya lakukan. Cuma buat masa ini beri saya ruang untuk berbincang dengan peguam saya,” katanya menerusi laporan Harian Metro.

Malah, Puteri Sarah turut tekad untuk memfailkan saman terhadap individu tersebut, meskipun menelan perbelanjaan yang banyak dan mengambil masa panjang untuk diselesaikan.

“Saya akui nak failkan saman ini kosnya tidak murah tapi saya sudah lama bersabar dengan perkara ini. Saya mahu undang-undang membuktikan isu yang berlaku,” katanya.