Pernah tak anda berdiri di sebelah seseorang dan tercium bau busuk dari orang itu? Baunya hamis seakan seperti ikan yang sudah busuk.
Ya, memang ada orang yang badannya mengeluarkan bau seperti itu. Malah, perkara ini turut diakui oleh ahli sains. Ia dikenali sebagai ‘Trimethylaminuria’ (TMAU) atau juga dikenali sebagai ‘sindrom bau ikan’.
Sindrom ini merupakan gangguan metabolisme yang jarang berlaku. Ia terjadi disebabkan kecacatan dalam gen yang dipanggil sebagai monooxgenase 3 (FMO3) hingga menghalang keupayaan tubuh menukarkan enzim yang menghasilkan bau ikan, trimethylamine (TMA) kepada kandungan tidak berbau, N trimethylamine oksida.
TMA yang terkumpul akhirnya mengeluarkan bau yang tidak enak seperti bau ikan busuk melalui urin, peluh dan pernafasan. Menurut Paul Wise dari Monell Chemical Senses Center di Philadephia menerusi artikelnya dalam sebuah jurnal perubatan Amerika, sesetengah orang yang menghidap penyakit ini mengeluarkan bau teramat kuat pada setiap masa.
Walaupun kerap mandi, menggunakan deodoran dan minyak wangi, semua itu masih tidak cukup untuk menghilangkan bau hanyir tersebut. Akibatnya, penghidap sindrom ini mengalami kemurungan dan tertekan kerana keadaan bau badannya. Malah pada peringkat yang ekstrim, tekanan itu boleh membawa penghidapnya membunuh diri.

Penyakit pelik ini bukan perkara baru. Ia telah dikesan wujud sejak berabad-abad dahulu lagi, tetapi hanya mendapat pengiktirafan saintifik sekitar lebih 30 tahun lalu.
Kes pertama dikesan pada tahun 1970. Pesakitnya merupakan seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun. Anak kecil ini dilaporkan mengalami masalah paru-paru dan banyak komplikasi lain sejak tempoh neonatal.
Suatu ketika, ibunya mengadu bahawa nafas anak kecil itu berbau busuk yang sangat kuat. Doktor yang merawat pada masa itu cuba mencari jawapan kepada punca masalah itu. Kajian biokimia menunjukkan terdapat peningkatan yang ketara dalam perkumuhan air kencing kanak-kanak itu hingga menimbulkan nafas berbau.
Selepas kanak-kanak itu meninggal dunia, satu kajian berikutnya dilakukan dengan mengambil sampel pada biopsi hati pesakit. Setelah diperiksa didapati sistem pengoksidaan N trimethylamine mengalami kerosakan. Sejak itu, muncul beberapa laporan bahawa orang dewasa dan remaja turut menghidap masalah ini.
Penyakit ini turut direkodkan dalam sejarah budaya beberapa buah negara. Contohnya, dalam epik India, Mahabharata, terselit kisah seorang wanita yang dipulaukan masyarakat kerana badannya berbau seperti ikan busuk. Cerita ini telah disusun kira-kira 400 Masihi, tetapi ia dipercayai ada kaitan dengan peristiwa yang berlaku pada 1,400 hingga 1,000 Sebelum Masihi.
Dalam cerita rakyat Thailand pula, dikhabarkan penyakit ini telah menjadi punca utama tindakan bunuh diri di kalangan gundik semasa pemerintahan Sukhothai yang berlaku lebih daripada 750 tahun dahulu.
Terdapat kajian menunjukkan bahawa evolusi penyakit berkenaan bermula dari baka ayam yang mewarisi kecacatan pengoksidaan N trimethylamine. Spesies ayam Rhode Island Red misalnya, menghasilkan telur yang telah dicemari kerana kehadiran TMA. Apabila penyelidikan dilakukan, pencemaran bau hanyir itu ada kaitan dengan kemerosotan keupayaan N trimethylamine oksida pada ayam.
Terdapat andaian yang mengatakan bahawa sekiranya penyakit itu ditemui dalam satu spesies haiwan, ia juga boleh didapati pada manusia. Keputusan beberapa kajian sebelum ini telah menemui dan mengesahkan manusia turut mengalami hal serupa.

Adakah penyakit bau badan seperti ikan busuk ini akan diwarisi? Jawapannya, ya. Sindrom bau ikan ini biasanya diwarisi daripada kedua-dua ibu bapa yang mengalami kecacatan dalam gen FMO3. Atau secara ringkasnya, mereka ini adalah pembawa mutasi. Sekiranya ibu atau bapa memiliki gangguan tersebut, mereka boleh mewariskannya kepada anak-anak mereka.
Apa penawarnya? Setakat ini, tiada ubat khusus untuk menyembuhkan TMAU. Ahli perubatan cuma menemukan rawatan yang bertujuan untuk mengurangkan gejala TMA dalam badan, berserta dengan diet khas yang disebut sebagai diet rendah TMA. Dengan cara ini sajalah dapat mengurangkan bau hanyir yang melekat pada badan pesakit, tetapi bukan untuk menghilangkannya.
________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:
Facebook: https://www.facebook.com/utusantv
Twitter: https://twitter.com/UtusanTV
Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en