SIAPA peminat kaktus? Sudah tentu ramai peminat tumbuhan ini. Ada berbagai warna dan bentuk, sesuai dibuat hiasan tanaman. Paling penting, sangat mudah menjaga kaktus kerana bukan memerlukan penjagaan rapi.

Namun, pernah tak anda dengar tentang kaktus aneh yang digelar sebagai ‘syaitan yang menjalar’? Pelik kan bunyinya.

Disebut sebagai ‘Creeping Devil’, kaktus ini berbeza daripada kaktus yang lain. Ini kerana ia lebih gemar ‘merayap’ di permukaan tanah.

Nama saintifik kaktus ini ialah Stenocereus eruca dari keluarga Cactaceae. Oh ya, kaktus spesies ‘syaitan’ ini tiada di tempat lain melainkan hanya boleh ditemui di daerah Baja California Sur di Mexico. Di sana, ia cuma hidup di tanah berpasir dan berkembang biak dalam koloni yang sangat luas.

Kaktus ini membesar mengikut peraturannya sendiri dan di luar daripada kebiasaan. Ia tidak tumbuh menegak seperti kaktus lain. Sebaliknya menentang arus dengan cara ‘berbaring’ di tanah sambil bahagian hujungnya terangkat sedikit ke atas.

Ketika tunas pokok mula keluar, akarnya akan menempel kuat di dalam tanah. Sewaktu ia membesar, berlaku perubahan pada struktur anatominya. Batang pokok mulai kelihatan berkilat berwarna hijau berkrim. Diameternya sekitar lima sentimeter dan panjangnya kira-kira satu setengah hingga dua meter. Apabila menerima hujan, ia akan menghasilkan bunga  berwarna putih, merah jambu dan kuning.

Creeping Devil, spesies kaktus yang mampu bergerak sendiri dan hanya boleh ditemui di Mexico.
Apabila hujan, ia akan mengeluarkan bunga.

Ketika ia membesar, kaktus ini tidak akan menegak lagi. Koloni kaktus ini akan terlihat seperti longgokkan ulat yang merayap di atas tanah, dengan hanya bahagian hujungnya ternaik dan tidak menyentuh tanah. Paling aneh, kaktus ini boleh bergerak daripada posisi asalnya melewati padang pasir.

Saintis turut mengesahkan bahawa kaktus ini adalah satu-satunya tumbuhan berduri di dunia yang mampu berpindah ke tempat lain dengan sendiri. Sebelum ini, ramai menganggap ia hanya rekaan sehinggalah kajian saintifik membuktikannya.

Sekali lihat seperti longgokan ulat di atas tanah.

Daripada kajian,  saintis menemukan beberapa fakta menarik mengenai Creeping Devil. Antaranya, kaktus ini mampu melakukan reproduksi secara seksual. Tetapi kerana pengasingan dan kekurangan pendebungaan, hal itu tidak dapat berlangsung secara agresif. Lalu, bagaimanakah kaktus ini mampu berkembang biak?

Hasil pemerhatian mendapati bahawa kaktus ini berupaya menghasilkan semula dirinya dengan cara pengklonan walaupun tanpa reproduksi secara seksual. Perkara ini menyebabkan sebahagian saintis menganggap tumbuhan ini sebagai ‘pembiak klon paling ekstrem dalam keluarga kaktus’.

Proses pengklonan itu bermula dengan melepaskan dirinya dari pangkal yang mati atau reput. Setelah terpisah dari hujungnya, ia mulai bergerak dengan merayap di atas padang pasir.

Di sesetengah kawasan di Baja California Sur, kaktus ini selalu dilihat bergerak perlahan-lahan ke lingkungan yang luas. Namun, di beberapa bahagian lain, tumbuhan tersebut lebih gemar berpindah ke kawasan padat dan membentuk koloni yang besar.

Setelah terpisah dari bahagian yang sudah mati, kaktus ini akan bergerak mencari kawasan baru bagi mengklon dirinya.

Dalam proses migrasi mencari habitat baru, kaktus yang ‘lari dari rumah’ ini akan mengklon dirinya sendiri dengan cara mengeluarkan akar baru. Setelah tiba di tempat yang dirasakan selamat, akarnya akan dibenamkan lalu menjalar sehingga jauh ke dalam tanah. Dari saat itu, ia kembali memulakan kehidupannya sebagai Creeping Devil.

Perkara itu berlaku sepanjang masa. Walaupun aneh, proses itu sebenarnya penting dalam rantaian pertumbuhan dan perkembangan kaktus ini. Sebab itu juga ramai saintis menggelar sifat Creeping Devil sebagai eruca, bermaksud ‘ulat’ atau ‘kaktus syaitan’.

Kadar pertumbuhan pokok ini juga bergantung kepada persekitarannya. Dalam iklim sejuk, ia boleh tumbuh sehingga 60 sentimeter setahun. Di situ, ia membentuk koloni yang besar dan padat. Akan tetapi, apabila berada dalam cuaca yang lebih panas, kadar pertumbuhannya menjadi sangat perlahan, iaitu hanya 60 sentimeter setiap sedekad. Dan sekiranya dibiarkan sahaja, kaktus ini dikirakan mampu bertahan hidup sehingga mencapai usia 100 tahun.

Malangnya, ia kini berada dalam senarai tumbuhan terancam di Mexico. Antara penyebab utama, kaktus ini menerima permintaan tinggi daripada penggemar pokok di seluruh dunia. Ramai yang sanggup membayar dengan harga tinggi semata-mata untuk mendapatkannya.

Alfredo Beltrán Morales, seorang penyelidik di Autonomous University of Baja California Sur memberitahu, untuk setiap satu batang kaktus unik ini dijual dengan harga sekitar USD4,000 hingga USD5,000 di pasaran gelap. Dan penyeludupan haram ini salah satu ancaman terbesar yang dihadapi oleh Creeping Devil yang boleh menyebabkan kaktus ini bakal pupus buat selama-lamanya.

_______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en