MELALUI video yang diviralkan, jelas kelihatan Majlis Pelancaran Briged MIC langsung tidak mengamalkan penjarakan sosial.

MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengarahkan pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) Putrajaya untuk mengeluarkan kompaun ke atas penganjur Majlis Pelancaran Briged MIC yang diadakan di Stadium Educity, Iskandar Puteri hari ini, kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.

Turut berdepan tindakan kompaun Bendahari Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Pengerusi BN Johor, Datuk Hasni Mohammad dan Presiden MIC, Tan Sri S.A Vigneswaran.

Perkara itu diumumkan Khairy menerusi akaun Twitter rasmi beliau.

“Saya telah mengarahkan pegawai @KKMPutrajaya untuk keluarkan kompaun kepada DS Hishammuddin, DS Hasni, TS Vigneswaran, pemimpin utama yang hadir & penganjur di bawah Akta 342.

“@KKMPutrajaya akan terus pantau SOP sempena PRN Johor,” menurut ciapan beliau.

Ahli Parlimen Rembau itu turut berkongsi pautan sebuah portal yang memuat naik video majlis berkenaan.

Difahamkan, majlis itu bermula pada 5.20 petang dan dianggarkan 3,000 hadir pada majlis berkenaan.

Ini adalah kali pertama pemimpin parti politik dan penganjur dikenakan kompaun sempena PRN Johor yang akan diadakan pada 12 Mac ini.

Sementara itu, Hishammuddin berkata beliau reda dikompaun kerana kesalahan melanggar SOP ketika hadir pada program pelancaran Briged MIC Johor tersebut.

Menteri Kanan Pertahanan itu berkata, beliau akan berhadapan dan bertanggungjawab atas kesalahannya itu.

“Kalau kita langgar SOP kena bayar kompaun. Inilah saya punya kebimbangan. Bila kita buat program dan benarkan program politik, ia susah nak dikawal.

“Jadi jika tak boleh dikawal dan melanggar SOP, mereka terpaksa berhadapan dengan kompaun.

“Saya reda jika membabitkan diri sendiri,” katanya ketika ditemui media selepas pelancaran program berkenaan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram