Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki. - GAMBAR: Abd Razak Aid

KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mendakwa tindakan sesetengah pihak memaksanya meletakkan jawatan kerana mempunyai agenda menjatuhkan institusi berkenaan.

Memetik laporan portal Free Malaysia Today (FMT), Azam mendakwa tindakan sedemikian dilakukan kerana SPRM semakin giat menyiasat kes-kes rasuah berprofil tinggi.

Azam malah mendakwa lebih banyak serangan peribadi akan dilakukan dalam masa terdekat bagi menghakis kepercayaan awam terhadap SPRM.

Menurut Azam, walaupun Suruhanjaya Sekuriti (SC) tidak mendapati sebarang salah laku dalam isu berkaitan saham yang dikaitkan dengannya, namun beliau meramalkan tekanan memaksanya meletakkan jawatan akan berterusan.

“Saya rasa agenda segelintir individu (ialah) bukan sahaja mahu saya letak jawatan tetapi mahu menjatuhkan institusi SPRM itu sendiri lebih-lebih lagi apabila SPRM sekarang ini makin giat menyiasat kes-kes rasuah yang berprofil tinggi.

““Saya menjangka perkara ini tidak akan berakhir di sini malah akan ditimbulkan tohmahan (dan) isu lain terhadap saya di masa yang terdekat. Kalau (usaha ini) berjaya, bermakna tiada lagi mana-mana agensi yang boleh dipercayai untuk orang awam rujuk sekiranya terdapat isu- isu yang melibatkan rasuah,” katanya.

Azam bagaimanapun tidak menamakan kes berprofil tinggi yang dimaksudkannya dan pihak yang didakwa melancarkan serangan peribadi tersebut.

Baca artikel berkaitan: Tiada kepastian muktamad Azam Baki langgar Seksyen 25(4) – SC

Beliau turut menyifatkan serangan peribadi itu sebagai sesuatu yang dirancang dengan teliti.

“Pada pandangan peribadi saya, ya… ia (dilakukan) sangat terancang oleh seseorang tetapi saya tak tahu (siapa). Itu sahaja yang saya dapat lihat daripada agenda yang dibangkitkan,” kata beliau.

Namun begitu, Azam menegaskan SPRM tetap komited melaksanakan amanah rakyat memerangi rasuah tanpa pilih kasih atau campur tangan mana-mana pihak.

Sepanjang 35 tahun bersama SPRM, Azam berkata pernah menerima mesej ‘amaran’ daripada individu yang tidak dikenali.

“Mesej maki hamun itu biasa…ada juga yang hantar mesej kata hati-hati, keluarga anda akan ditimpa musibah…(sila) hati-hati kalau tak kita akan sihir anda dan anak-anak anda. Mesej sebegitu ada tetapi ancaman bunuh yang betul-betul tiada,” katanya.

18 Januari lalu, SC dalam kenyataan memaklumkan tidak dapat membuat penemuan konklusif bahawa Azam telah melanggar Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA).

Dalam kenyataan pada 19 Januari pula, SC menjelaskan tindakan Azam tidak melanggar undang-undang kerana merupakan penama akaun saham dan mempunyai kuasa ke atas akaun tersebut.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram