ANALISIS

SEBAGAI anak kepada seorang petani yang dilahirkan di Kampung Jabi, Pokok Sena, Kedah kehidupan masyarakat luar bandar bukan asing bagi Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Sudah pastilah kehidupan sebagai anak kampung bukan sahaja mendewasakan Mahdzir tetapi juga membolehkan beliau menyelami jerih perih kehidupan masyarakat luar bandar.

Lanjutan itu apabila beliau dilantik sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar bermula 30 Ogos 2021, ramai yang melahirkan keyakinan bahawa Ahli Parlimen Padang Terap itu yang pernah menjadi Menteri Besar Kedah selama sepenggal iaitu mulai Disember 2005 hingga Mac 2008 akan mampu ‘mengubah wajah’ Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

‘Mengubah wajah’ bukan berkisar soal keindahan bangunan atau ruang pejabat kementerian itu atau agensi-agensinya apa yang paling utama ialah memastikan KPLB benar-benar berfungsi sebagai ‘nadi dan jantung’ bagi mengubah dan meningkatkan taraf kehidupan masyarakat luar bandar sama ada dari segi sosial, ekonomi, pembangunan mahupun Pendidikan.

Perjalanan hidup Mahdzir sendiri membuktikan sejauh manapun beliau pergi dan apa juga jawatan yang beliau sandang ia seolah-olah tidak boleh dipisahkan atau pasti akan ada kaitan dengan masyarakat luar bandar.

Jawatan-jawatan itu termasuklah pengetua di Sekolah Menengah Gedong, Beaufort, Pegawai Khas (Pembangunan) kepada Menteri Besar Tan Sri Osman Aroff selama tiga tahun mulai 1993, menjadi Pengarah Seranta Kementeran Tanah Pembangunan Koperasi pada 1998 hingga 2000 dan Setiausaha Politik Kepada Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, Exco Kerajaan Negeri Kedah memegang portfolio Pertanian, Pembangunan Luar Bandar dan Pembangunan Koperasi Negeri, pernah menjadi Menteri Pendidikan dan kini berada di KPLB.

Melalui pengalaman bertugas itulah Mahdzir menjadi ia sebagai ‘satu ramuan’ untuk melaksanakan misi beliau di KPLB.

Justeru tiada apa yang menghairankan apabila KPLB di bawah kepemimpinan Naib Presiden UMNO itu mencapai kesemua empat petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan dalam Aspirasi 100 Hari Keluarga Malaysia merangkumi aspek mempertingkat infrastruktur dan menstruktur semula ekonomi luar bandar pada tahun lalu

Namun Mahdzir tidak akan berhenti di situ. Banyak lagi beliau ingin lakukan dalam membela nasib penduduk luar bandar dan Orang Asli.

Sasar 90 KPI utama 2022

Dalam satu kenyataan hari ini, Mahdzir menegaskan, KPLB meletakkan sasaran untuk mencapai 90 Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi tahun 2022.

Kata beliau, KPI yang ditetapkan itu berteraskan Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) 2030.

“Program-program yang telah dipilih  sebagai  KPI  bagi tahun 2022 ini, sebahagiannya adalah program baharu dan ada juga   program yang sememangnya   telahpun kita laksanakan pada tahun-tahun sebelum ini. Walaupun program tersebut telah dilaksanakan, tetapi fokus kita pada tahun 2022 ini adalah kepada outcome dan impak kepada masyarakat luar bandar dan Orang Asli”, katanya.

Beliau juga memaklumkan, kata putus bagi penetapan sasaran KPI itu dicapai menerusi  satu resolusi khas hasil Mesyuarat Hala Tuju Strategik Kementerian Pembangunan Luar Bandar Tahun 2022 yang berlangsung pada 9-11 Februari lalu di Teluk Bahang, Pulau Pinang.

Jelas Mahdzir, 90 program KPI yang dipilih adalah mewakili lapan teras utama DPLB.

Ia merangkumi teras Modal Insan, Keusahawanan, Ekonomi, Prasarana, Sistem Penyampaian, Perumahan dan Pembangunan Wilayah serta teras Belia dan Wanita.

‘’Dengan pencapaian KPI itu juga bakal memberi manfaat kepada 950,000 masyarakat di luar bandar dan Orang Asli di seluruh negara. Kita kini berada dalam era kepantasan media sosial di mana segala masalah rakyat disebarkan menerusinya dan memerlukan tindakan segera daripada Kementerian.

‘’Justeru KPLB perlu mempunyai dimensi baharu dan merancang pelaksanaan kaedah baharu bagi merealisasikan proses tersebut supaya rakyat dapat menerima manfaat yang dijanjikan oleh kerajaan.”

KPLB juga kata  Mahdzir, akan  memberi penekanan kepada  mencari kaedah penyelesaian untuk menyegerakan pelaksanaan projek luar bandar mengikut tempoh masa yang ditetapkan.

Beliau berkata, selain memberi fokus kepada pengukuhan kerjasama strategik dengan pihak berkepentingan agar segala sumber dan tenaga dapat dioptimumkan untuk mempercepatkan proses transformasi luar bandar.

‘’Mesyuarat Hala Tuju Strategik KPLB turut bersetuju meletakkan batu asas pembentukan Kampung Sejahtera, satu inisiatif terbaharu kementerian itu untuk program transformasi kampung. Bagi merealisasikan konsep Kampung Sejahtera ini, program-program di bawah semua sektor dan agensi KPLB perlu dilihat secara holistik.

‘’Saya  amat  yakin  dan   percaya  dengan komitmen daripada seluruh keluarga besar KPLB, usaha kita membangunkan kawasan luar bandar di seluruh negara akan menjadi kenyataan yang akan memberi kemudahan kepada generasi masa hadapan,” kata Mahdzir.

Bukan sekadar retorik, mimpi siang hari

Berdasarkan pencapaian Mahdzir dan warga KPLB sejak beliau menerajui kementerian itu apa yang disasarkan bukanlah sekadar retorik apatah lagi ‘mimpi di siang hari’, sebaliknya ia sudah dibuktikan melalui apa yang dicapai selepas 100 hari beliau menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar.

Sebelum ini beliau juga sudah  meletakkan sasaran tahun 2022 sebagai tahun menyegerakan setiap projek pembangunan di luar bandar.

Bagi tujuan itu seperti mana beliau tegaskan dalam Majlis Amanat Tahun Baharu KPLB pada 14 Januari lalu ia  memerlukan anjakan paradigma dalam proses kerja bagi mengelakkan tempoh masa terlalu lama diambil dalam pelaksanaan projek sehingga menjejaskan kepentingan rakyat.

“Sekarang ini masa untuk kita fikirkan dengan dunia teknologi digital, bagaimana kaedahnya untuk kita mempercepatkan proses pelaksanaan projek, bagaimana kita nak buat, sekarang ni kita tak boleh buat, semua orang kata sekarang tak boleh buat, jadi bagaimana kita nak mengubah paradigma ini.

”Ini menjadi satu cabaran baharu kepada kita untuk mempercepatkan proses. Insya Allah-kita boleh deliver kepada rakyat lebih baik kalau kita sama-sama dapat memikirkan,’’ tegas beliau dalam majlis tersebut.

Mencapai sasaran 90 KPI bagi tahun 2022 sememangnya satu cabaran tetapi berdasarkan pendekatan dan kesungguhan Mahdzir dalam menerajui KPLB setakat ini ia bukanlah sesuatu yang sukar.

Mahdzir kini berada di landasan yang betul dalam memimpin KPLB menepati tagline kementerian itu – ‘Luar Bandar, Luar Biasa’ .