HARI ini 14 Februari. Bagi yang bukan beragama Islam terutama di Barat, tarikh ini amat dinantikan oleh pasangan kekasih. Tarikh yang diraikan sebagai hari kekasih.

Namun, di sebalik tarikh yang menjadi kegilaan untuk mereka meraikan cinta itu, tercatat juga pelbagai tragedi malang. Ini di antara sebahagian kisahnya…

1.PADA pagi hari Valentine tahun 2013 di sebuah rumah di Illinois, Amerika, Nathan Leuthold menghadiahkan sejambak bunga mawar kepada isterinya, Denise Leuthold, sebelum dia keluar ke tempat kerja.

Apabila pulang ke rumah, Nathan mendapati tingkap rumahnya pecah. Isterinya, Denise ditemui terkorban dengan tembakan di kepala. Kereta isterinya dan juga pistol kepunyaan Nathan didapati hilang.

Awalnya diduga ada rompakan yang berlaku. Namun, hasil siasatan menemui perkara yang tidak dijangka sama sekali. Pembunuhan itu sebenarnya dirancang oleh Nathan sendiri.

Bukti juga menunjukkan Nathan pernah mencari cara untuk menembak dengan senyap. Dia sengaja menjadikan rumahnya kelihatan seperti dirompak untuk menutup motifnya sebagai pembunuh.

Punca? Kerana Nathan mempunyai hubungan sulit dengan Aina Dobilaite,21, seorang gadis Lithuania yang ditaja pengajiannya oleh pasangan Leuthod sewaktu mereka terlibat dalam misi mubaligh tiga tahun sebelum itu.

Denise sudah menghidu hubungan sulit suaminya dengan Dobilaite. Bahkan, Denise pernah menulis di dalam diarinya bahawa Nathan ingin membunuhnya agar tidak menjadi halangan dalam skandal tersebut. Nathan dijatuhi hukuman penjara 90 tahun atas kesalahan membunuh isterinya.

Nathan sanggup membunuh isterinya kerana hubungan sulitnya.

2.PADA hari Valentine tahun 2013, Reeva Steenkamp, seorang model berusia 30 tahun ditembak mati di Afrika Selatan. Reeva dan teman lelakinya, Oscar Pistorius berkenalan di tapak perlumbaan kereta pada November 2012.

Reeva ditembak mati oleh teman lelakinya, Oscar.

Reeva seorang yang aktif dalam sukan, manakala Oscar merupakan seorang ahli sukan paralimpik dan banyak terlibat dalam sukan-sukan besar dunia termasuk sukan Olimpik.

Merasakan mereka sepadan, mereka menjadi pasangan kekasih untuk tiga bulan berikutnya. Pada 14 Februari 2013 yakni pada hari Valentine, mereka menghabiskan sepanjang hari bersama.

Malangnya, nyawa Reeva berakhir malam itu juga. Reeva mati setelah terkena empat das tembakan yang dilepaskan oleh Oscar, teman lelakinya sendiri.

Dalam kenyataan bela diri, Oscar memberitahu, dia menyangka penceroboh telah memecah masuk ke pangsapurinya dan menyorok di dalam tandas rumahnya di Pretoria. Oscar melepaskan tembakan ke arah pintu tandas itu yang mengenai  Reeva.

Pengakuan Oscar tidak mengubah keputusan mahkamah yang menjatuhkan hukuman enam tahun penjara sebelum ditambah menjadi 13 tahun lima bulan kerana menyebabkan kematian teman wanitanya.

3.INI kisah Tiana Notice, 25, gadis bijak yang mengenali seorang lelaki bernama James Carter melalui laman temu janji di Internet. Namun, James bukanlah lelaki baik.

Selepas setengah tahun berhubungan, Tiana mendapat tahu pelbagai rekod buruk James. Antaranya, lelaki itu pernah berdepan hukuman penjara kerana berlaku kasar terhadap kekasih lamanya. Atas sebab itu, Tiana memutuskan hubungan dengan lelaki tersebut, malah mendapatkan perintah larangan agar James tidak mencarinya lagi.

Sejak itu, Tiana selalu diganggu. James akan muncul di mana sahaja Tiana berada. Ini diikuti dengan e-mel, panggilan telefon dan mesej yang berbaur ugutan dari James.

Tiana membuat laporan di balai polis. Tetapi laporannya tidak diambil peduli. Bahkan, Tiana ke balai polis lebih kurang 33 kali dalam masa enam minggu kerana membuat aduan gangguan James terhadapnya.

Pada malam Valentine tahun 2009, Tiana pulang ke apartmennya di daerah Connecticut, Amerika, untuk mengemas pakaian. Ketika dia mahu membuka pintu rumah, dia tidak menyedari James sudah lama menantinya di satu sudut. James menyerang dan menikamnya sebanyak 20 kali, dua di jantung.

Dengan nafas yang tersekat-sekat, Tiana membuat panggilan kecemasan 911 dan memberitahu bekas teman lelakinya telah menikamnya. Tiana meninggal dunia di hospital dan James dijatuhi hukuman penjara 60 tahun. Hakim juga menetapkan bayaran sagu hati $10 juta kepada keluarga Tiana di atas kecuaian pihak polis kerana tidak mengambil serius aduan Tiana sebelum itu.

Nyawa Tiana berakhir di tangan bekas teman lelakinya.

4.KES yang menimpa wanita bernama Tomicka Peterson berlaku pada hari Valentine tahun 2011 di Florida, Amerika Syarikat. Tomicka sudah merancang untuk memutuskan hubungan dengan Paul Gibson, seorang lelaki yang sudah tiga kali keluar masuk penjara. Dia juga sudah bersedia untuk menukar mangga kunci pangsapuri yang mereka diami bersama, tetapi Paul mendapat tahu rancangan tersebut.

Pada hari Valentine itu, Tomicka keluar dari rumah menuju ke arah kereta di mana rakan-rakannya sudah menunggu. Dia tidak sedar Paul juga mengikut rapat dari belakang. Apabila Tomicka masuk ke dalam kereta, Paul melepaskan beberapa das tembakan, lima mengenai Tomicka yang membunuhnya di situ juga. Salah seorang rakan perempuannya turut cedera.

Paul terbang ke Tennessee untuk melarikan diri, namun berjaya diberkas polis dan dibawa pulang semula ke Florida dan dipenjarakan atas tiga pertuduhan.

5.PADA 14 Februari 2001, Dr. John Hamilton, seorang pakar bedah di Oklahoma telah keluar seawal pagi untuk satu pembedahan. Beliau yang dikenali rakan-rakan sebagai suami yang romantis, pulang semula ke rumah untuk bertukar kad hari Valentine dengan isterinya, Susan Hamilton. Dia turut memesan sejambak orkid merah.

Namun apabila pulang ke rumah, John mendapati Susan terbaring di lantai bilik air dalam keadaan berlumuran darah. Lehernya seperti dicekik manakala kepalanya seperti dihentak kuat sehingga sebahagian otaknya berkecai.

John menelefon hospital untuk menghantar ambulans. Namun, Susan sudah tidak lagi bernyawa. Melihat kepada kematian yang tragik, polis cuba mencari pembunuhnya. Siasatan mendapati rumah tidak dipecah masuk.

Motif pembunuhan masih misteri, sehinggalah rakan-rakan Susan mendedahkan bahawa wanita itu pernah bercadang untuk meminta cerai kerana mengesyaki John mempunyai hubungan sulit dengan seorang penari kelab malam.

Siasatan juga mendapati kesan darah yang bertompok di kasut, stereng kereta dan lipatan lengan baju John adalah darah Susan. Ironinya, John memilih hari Valentine untuk menamatkan riwayat isterinya.

Susan dibunuh suaminya sendiri kerana menghidu skandal suaminya.

6.INI pula kisah yang sesuai dengan pepatah diberi madu, dibalas tuba. Ketika Richard Schoeck memilih untuk mengahwini Stacey, seorang ibu tunggal yang mempunyai tiga orang anak, Richard tidak pernah menyangka dia akan dikhianati dengan kejam.

Pada 14 Februari 2010, Stacey mengajak suaminya untuk bertemu di sebuah taman yang agak tersembunyi sebagai tempat pertemuan romantis untuk saling bertukar kad Valentine.

Richard datang ke Belton Bridge Park di Georgia dengan harapan untuk bertemu isteri yang disayanginya. Bagaimanapun, keadaan bertukar menjadi mimpi ngeri apabila Richard ditembak mati oleh Reginald Coleman, pembunuh yang diupah oleh Stacey sendiri.  

Apabila diheret ke mahkamah, terbongkarlah segala-galanya. Stacey mengaku menjadi dalang pembunuhan Richard, suaminya yang kelima kerana mahu mendapatkan wang pampasan berjumlah $500,000. Stacey dijatuhi hukuman penjara seumur hidup.

Stacey sanggup membunuh suaminya untuk mendapatkan wang pampasan.

7.PADA 14 Februari 2007, Stephen Grant ke balai polis untuk membuat laporan kehilangan isterinya, Tara Grant. Kali terakhir dia menemui isterinya pada 9 Februari, ketika Tara menjawab satu panggilan. Selepas itu, Tara terus menaiki sebuah kenderaan dan menghilang.

Polis tertanya-tanya apa yang membuatkan Stephen bertangguh sehingga lima hari untuk membuat laporan kehilangan isterinya. Jawab Stephen, Tara memang selalu menghilangkan diri begitu, namun tidak pernah berlarutan sehingga lima hari.

Dalam masa dua minggu, polis berjaya menutup kes tersebut dengan mengeluarkan satu waran untuk menggeledah rumah Stephen dan Tara di Michigan. Yang mengejutkan, cebisan mayat Tara ditemui tersimpan dalam sebuah beg.

Stephen berjaya melarikan diri lebih awal sebelum ditemui dua hari kemudian. Stephen mengaku telah mencekik Tara dan memotong mayat isterinya kepada beberapa bahagian sebelum menyembunyikannya di garaj rumah mereka.

Puncanya? Kerana Tara telah menampar dan merendah-rendahkan dirinya yang membawa kepada pergaduhan mereka menyebabkan Stephen hilang sabar lalu membunuh isterinya itu.

Stephen bukan saja membunuh, malah mengerat mayat isterinya.

8.PADA malam Valentine tahun 2016, lelaki bernama Courtney Jackson pulang ke rumahnya di Georgia dalam keadaan mabuk. Pertengkaran tercetus antara Courtney dan teman wanitanya, Lashonda Terry.

Lashonda menghubungi bapa Courtney yang menyebabkan lelaki itu semakin marah. Setelah bapanya pulang, Courtney bertindak lebih ganas dengan mencekik leher teman wanitanya. Dengan alasan untuk mempertahankan diri, Lashonda telah menikam dada Courtney sebanyak dua kali.

Ketika polis tiba setelah menerima panggilan dari seorang jiran yang mendengar perbalahan mereka, Courtney sudah nyawa-nyawa ikan dengan darah membuak-buak mengalir dari kesan tikaman yang dalam. Courtney akhirnya meninggal dunia di hospital.

________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en