KESUKARAN menempuh kehidupan bukan saja merupakan pengalaman pahit, tetapi ia juga mampu dijadikan pemangkin dan pencetus semangat untuk seseorang itu mengubah hidupnya menjadi lebih baik. Kesusahan itulah yang dijadikan landasan oleh Noor Faqirah Abdullah, 27, untuk bangkit berjuang merubah keadaan hidupnya.

Wanita berasal dari Pasir Tumboh, Kelantan ini masih ingat bagaimana pada tahun 2018 semasa dia sarat mengandung anak sulung, dia membantu suaminya berniaga laksa di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, di negeri kelahirannya itu.

Berasa keadaan yang sukar dengan dirinya yang berbadan dua dan pendapatan yang tidak seberapa, Faqirah tekad mahu mencuba mengubah hidup keluarganya, tambahan pula ketika itu dia dan suami duduk menumpang di rumah mertua.

Selepas bersalin, bermula dengan modal yang kecil, dia mengambil inisiatif memulakan perniagaan dengan menghasilkan herba kurus tradisional. Faqirah terpaksa menggunakan wang anaknya dan ditambah dengan sedikit duit simpanannya untuk dijadikan sebagai modal.

Bahan untuk menghasilkan jamu itu pula diperoleh daripada ayahnya sendiri, seorang penjual akar kayu di Kota Bharu. Namun produk Herba Kurus Tradisi (HKT) yang dihasilkannya itu tidak mendapat sambutan pada peringkat awal.

Hanya pada pertengahan tahun 2019, barulah produk yang dihasilkannya mula mendapat perhatian apabila ramai yang bertanya bagaimana dia boleh menurunkan berat badan sehingga 15 kilogram selepas bersalin.

Bagai pucuk dicita, ulam mendatang, Faqirah memberitahu dia mengamalkan jamu yang dibuatnya untuk kembali langsing setelah bersalin. Secara tidak langsung, dirinya sendiri menjadi testimoni kepada produknya sendiri.

Sejak itu, hidupnya mula berubah. Produk herba yang dihasilkannya mula mendapat permintaan tinggi untuk mereka yang mahu menurunkan berat badan. Bukan saja mengubah rezeki Faqirah, tetapi ia juga membantu memberi rezeki kepada para wanita lain untuk menambah sumber pendapatan mereka dengan menjadi ejen jualan produknya itu.

Faqirah kini sudah mampu tersenyum bangga dengan hasil usahanya.
Wanita muda ini mempunyai cita-cita tinggi bukan saja untuk mengubah hidupnya, tetapi juga untuk membantu golongan wanita menjana pendapatan.

“Mula-mula masa keluar produk dulu, tak ada orang beli. Memang sedih. Bila orang lihat saya kembali langsing selepas bersalin, orang mula bertanya saya amalkan produk apa. Dari situ saya mula terima permintaan. Saya dapat feedback yang baik dan permintaan semakin banyak,” ujar Faqirah yang merupakan pengasas Qayra Beauty Empire.

Pada tahun 2020, perniagaannya semakin dikenali dan kini, Qayra Beauty Empire semakin berkembang dengan ejennya bertambah menjadi 6,000 orang di seluruh negara.

Tidak Lupa Kerja Amal

Daripada sukar menjadi senang, ia tidak membuat Faqirah lupa akan pengalaman hidup susahnya dahulu. Merupakan anak ke 8 daripada 10 beradik, Faqira bukanlah berasal dari keluarga yang senang. Ibunya sudah meninggal dunia manakala ayahnya hanya seorang peniaga herba yang dahulu terpaksa berpanas berhujan untuk berjualan demi mencari rezeki.

Kerana itu setelah perniagaannya berjaya, Faqirah bukan saja mahu membantu keluarganya, tetapi juga insan-insan lain yang serba kekurangan.

Selain menawarkan peluang kepada golongan wanita terutamanya untuk menambah pendapatan bersamanya, Faqirah juga sering menderma sebahagian hasil pendapatannya untuk membantu orang-orang susah.

“Saya pernah hidup susah. Sebab itu saya mahu wanita di luar sana boleh cari wang walaupun mereka hanya suri rumah. Selain itu, saya juga suka lakukan kerja-kerja CSR. Salah satunya seperti bencana banjir baru-baru ini, kami sumbangkan lebih RM100 ribu untuk membantu mangsa-mangsa banjir,” ujarnya.

Faqirah memperuntukkan sejumlah bajet setiap bulan untuk kerja-kerja amal.

Bagi Faqirah, menjadi tanggungjawab sosialnya membantu mereka yang kesusahan. Malah, dia turut memperuntukkan sejumlah bajet setiap bulan supaya kerja-kerja amal ini sentiasa berjalan.

Faqirah percaya, bersedekah dan berkongsi rezeki dengan orang lain juga ada keberkatannya, dan membuat rezekinya dalam perniagaan juga semakin bertambah.

Impikan Bangunan Sendiri

Memulakan perniagaan pada tahun 2019  dengan modal kecil tanpa  ilmu perniagaan, Faqirah kini sudah mampu tersenyum apabila Qayra Beauty mampu berjaya dalam waktu yang singkat. Pada tahun 2021, syarikatnya mencatat kejayaan jualan mencecah RM17 juta.

Kejayaan itu bermula dengan hasratnya untuk merubah kehidupan keluarga untuk keluar daripada kesempitan dan  kesusahan.

“Kejayaan yang dikecapi hari ini bukanlah datang dengan mudah. Pada peringkat awal, saya melakukan semuanya sendiri termasuk pembungkusan dan penghantaran. Kerana tiada wang, saya juga tidak mampu untuk membuat pemasaran. Hanya maklum balas mulut ke mulut yang akhirnya mengubah keadaan,” katanya.

Faqirah kemudian melakukan penambahbaikan formula jamu kampung yang diasaskannya. Daripada hanya beberapa botol, produknya itu mencecah jualan 200 ribu botol pada tahun 2021.

Terbaru, Faqirah melancarkan produk terbaru syarikatnya, Slimming Girdle. Produk lain keluaran Qayra Beauty adalah Slimocha , Slimberry dan Slimnut dan Maajun Premium.

Fokus anak jati Kelantan ini sekarang mahu meluaskan lagi empayar perniagaannya sehingga ke luar negara, selain bercita-cita mahu memiliki bangunan sendiri di Wakaf Che Yeh, Kota Bharu, Kelantan.

Wanita mudah ini mahu mengembangkan empayar perniagaannya dan bercita-cita mahu memiliki bangunan sendiri.

______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram