Datin Seri Rosmah Mansor. GAMBAR: Abd Razak Aid

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menangguhkan perbicaraan rasuah yang dihadapi Datin Seri Rosmah Mansor berhubung projek tenaga solar untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak selepas peguamnya, Datuk Akberdin Abdul Kader disahkan positif COVID-19.

Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram memaklumkan hakim Mohamed Zaini Mazlan bahawa, bukan Akberdin sahaja yang dijangkiti COVID-19, malah dua lagi anggota pasukan pembelaan iaitu Datuk Jagjit Singh dan Azrul Zulkifli Stork merupakan kontak rapat dengan Akberdin dan mereka perlu dikuarantin.

Hakim Mohamed Zaini memaklumkan bahawa mahkamah juga telah menerima surat daripada firma guaman Jagjit menyatakan Akberdin dijangkiti COVID-19.

“Saya difahamkan beliau (Akberdin) telah didiagnosis pada 12 Februari. Malang mendengar perkhabaran itu. Saya doakan beliau sihat,” katanya.

Hakim Mohamed Zaini kemudiannya menangguhkan prosiding hari ini dan perbicaraan akan disambung semula pada 23 Februari.

Baca artikel berkaitan: Hakim ingatkan peguam beri keutamaan kes rasuah Rosmah

Hari ini sepatutnya ditetapkan untuk hari terakhir perbicaraan pembelaan dengan bekas pegawai khas kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod juga sepatutnya disoal balas oleh pihak pendakwaan.

Sementara itu, Sri Ram memberitahu mahkamah bahawa permohonan telah difailkan untuk saksi utama dalam kes itu, bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin dipanggil semula untuk memberi keterangan.

Pada 18 Feb tahun lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan Rosmah membela diri atas ketiga-tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Rosmah, 70, dituduh meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi.

Suapan itu didakwa diterima melalui bekas pegawai khasnya Datuk Rizal Mansor, sebagai ganjaran membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Sistem Hibrid Solar Photovoltaic (PV) Bersepadu serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel untuk 369 sekolah bernilai RM1.25 bilion melalui rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram