PEMAIN badminton nombor satu negara, Lee Zii Jia membuktikan kehebatannya apabila dengan mudah menewaskan pemain Singapura, Loh Kean Yew yang kini menjadi musuh utamanya pada perlawanan pertama Kumpulan B Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 hari ini.

Perlawanan antara kedua-dua perseorangan pertama itu yang juga merupakan rakan karib ketika bermain badminton di zaman kanak-kanak mereka menjadi tumpuan seluruh peminat sukan badminton rantau ini.

Selepas tewas dalam dua perlawanan terakhir dengan pemain Singapura anak kelahiran Pulau Pinang itu, Lee Zii Jia yang merupakan anak Kedah tiada masalah menang mudah dengan permainan ‘straight set’ dengan mata 21-6 21-14 dalam masa hanya 30 minit.

Kemenangan ke atas pemain nombor 12 dunia itu, menjadi perangsang untuk meningkatkan keyakinan buat Zii Jia selepas terpaksa berhadapan prestasi tidak konsisten sepanjang tahun lepas, yang akhirnya membawa kepada kontroversi keluar daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) awal tahun ini.

“Saya cuba untuk beri fokus, lebih tenang dan tidak menggunakan emosi sewaktu bermain macam tahun lepas. Saya rasa seluruh rakyat Malaysia juga menantikan perlawanan hari ini dan saya gembira apabila menang.

“Sasaran tahun ini adalah untuk menstabilkan prestasi saya, perlawanan ini mungkin satu daripada cara untuk menstabilkan emosi, saya cubalah apa-apa cara yang boleh,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu.

Menerusi kemenangan hari ini, Zii Jia kini telah memenangi tiga daripada lima perlawanan menentang atlet kelahiran Pulau Pinang, Kean Yew.

Zii Jia menewaskan Kean Yew pada Cabaran Antarabangsa Smiling Fish 2016 dan Terbuka China Fuzhou 2019, tetapi gagal mengatasi pemain berusia 24 tahun itu pada Terbuka Perancis 2021 dan peringkat akhir Terbuka Hylo 2021 di Jerman, apabila beliau terpaksa menarik diri akibat kecederaan.

Ditanya mengenai kemungkinan menentang Kazakhstan esok, pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu berkata terpulang kepada jurulatih untuk memutuskan sama ada akan menurunkannya atau memberi peluang kepada pemain muda, bagaimanapun beliau sentiasa bersedia untuk bermain demi negara pada bila-bila masa.

Sementara itu, Kean Yew yang hanya beraksi pada kejohanan kedua selepas muncul juara pada Kejohanan Dunia di Huelva, Sepanyol Disember tahun lepas, mengakui beliau tidak berada pada tahap terbaik hari ini.

“Zii Jia bermain dengan sangat baik…saya rasa setiap kejohanan akan berbeza, prestasi beliau sangat bagus hari ini. Saya masih perlu mengatasi apa sahaja dan belajar daripadanya,” katanya sambil berharap rakan sepasukannya dapat beraksi lebih baik untuk membawa Singapura ke separuh akhir.

Ketika ditanya sama ada kuarantin lima hari setibanya di Malaysia menjejaskan prestasinya, beliau berkata: “Pastinya ia pengalaman berbeza, pengalaman pertama, saya ingin lihat bagaimana aksi selepas kuarantin, jadi inilah prestasi saya selepas kuarantin, saya boleh belajar daripada pengalaman ini”.

Kean Yew yang mengakui tidak menjangka menjuarai Kejohanan Dunia berkata matlamat jangka panjangnya adalah ingin merangkul pingat emas Olimpik.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram