PELAKON Siti Saleha akui watak Doktor Suzana yang dilakonkan dalam drama Love In Lockdown mempunyai persamaan dalam kehidupan peribadinya.
Walau bagaimanapun, sebagai seorang pelakon yang memiliki prinsip untuk tidak mencampur adukkan kisah peribadi dengan kerjaya, Saleha atau nama penuhnya Siti Saleha Mohd. Baharum,32, mengambil pendekatan untuk bersikap profesional.
“Ya saya akui memang watak Dr. Suzana itu ada kaitan dengan kisah peribadi saya.
“Saya bersikap profesional apabila bekerja dan meletakkan sepenuh jiwa terhadap watak yang diberikan.
“Bila saya bekerja, hal peribadi memang saya akan letak tepi sebab nak beri ruang untuk fokus berkarya,” katanya kepada URTV.
Saleha ditemui pada sidang media virtual pelancaran siri Original Pertama, Love In Lockdown, semalam.
Sebagai info, Saleha sah bercerai dengan bekas suami, Ahmad Lutfi Azhar,36 pada Januari lalu di Mahkamah Rendah Syariah Klang selepas lima tahun berkahwin.
Sementara itu, berbicara tentang watak Doktor Suzana yang dijayakan dalam drama bersiri arahan Mai Fernandez itu, Saleha berkata dia teruja ketika ditawarkan untuk menjadi sebahagian dalam naskhah berkenaan.
Drama tersebut mengisahkan tentang pergelutan hidup yang dialami setiap individu ketika wabak Covid-19 ‘menyerang’.
“Ini pengalaman pertama untuk saya membawakan watak seorang petugas barisan hadapan. Sejujurnya, sepanjang penglibatan dalam lakonan, saya tak pernah lagi diberikan tanggungjawab melakonkan watak seorang doktor profesional.
“Saya nak sangat rasa macam mana jadi petugas barisan hadapan yang bekerja tanpa henti ketika situasi pandemik.
“Saya jadikan watak Meredith dalam Grey’s Anatomy sebagai sumber inspirasi.Yang pasti persamaan saya dengan Doktor Suzana dalam cerita ini ialah kami seorang yang kuat bekerja,” jelasnya.
Love In Lockdown dihasikan melalui kerjasama dengan syarikat produksi tempatan, Pho Sumpro itu akan ditayangkan secara eksklusif di sooka sebanyak 10 episod mulai 20 Februari ini.
Selain Saleha, ia turut dibintangi Julia Farhana Marin, Shah Iskandar, Sara Mac dan Bella Rahim.