Suspek ditahan Bahagian Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara selepas menerima video berdurasi 36 saat berkaitan aksi berbahaya itu yang tular di media sosial.

HANYA kerana inginkan perhatian netizen, seorang lelaki yang videonya tular melakukan aksi ‘wheely’ atau mengangkat tayar hadapan motosikal dengan seorang budak perempuan ditahan polis, semalam.

Tangkapan dibuat oleh Bahagian Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara selepas menerima video berdurasi 36 saat berkaitan aksi berbahaya itu yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Rupiah Abd Wahid berkata, aksi menunggang secara berbahaya itu didapati dilakukan di Jalan Bukit Impian 1, Taman Impian Emas, Skudai, Johor.

Menurutnya, tujuan aksi tersebut dibuat adalah untuk meraih perhatian warganet.

“Aksi tersebut dirakamkan sendiri oleh suspek dengan menggunakan telefon bimbitnya melalui pertolongan rakannya sebelum ia dimuatnaik di Facebook “Hafiz Sim”pada 15 Februari kira-kira pukul 7 malam.

“Sebanyak 3 saman telah dikeluarkan polis antaranya nombor pendaftaran kenderaan tidak mengikut spesifikasi, cukai jalan tamat tempoh dan tidak memakai topi keledar,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Mengulas lanjut, Rupiah berkata, penunggang motosikal itu ditahan bagi membantu siasatan manakala barang kes dirampas.

Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih lima tahun dan denda maksimum RM15,000.

“Polis menasihati orang ramai supaya tidak memandu kenderaan dan melakukan aksi-aksi yang boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan juga pengguna jalan raya yang lain,” tambahnya.