KEPUTUSAN parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menolak tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditawarkan PKR pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac depan menjadi faktor rundingan antara kedua-dua parti itu tidak dapat diteruskan.
Perkara tersebut dimaklumkan Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh seperti dilapor BH Online, hari ini.
Ia susulan kenyataan Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang membayangkan kemungkinan berlaku pertindihan kerusi antara calonnnya dengan PKR.
Syed Ibrahim memaklumkan, beberapa siri rundingan dengan MUDA telah dilakukan dengan jujur dan terbuka mengambil kira semangat kebersamaan pembangkang di Johor.
Bagaimanapun, kata beliau, MUDA masih menuntut kerusi selain daripada yang ditawarkan.
“Tiga kerusi ditawarkan PKR telah ditolak dan MUDA masih menuntut kerusi lain.
“Ia turut menjadi sulit kerana kerusi yang ‘dituntut’ adalah kerusi di kawasan bandar dan campuran yang tidak mudah dicatur tanpa mengambil kira kekuatan yang ada pada PKR.
“Justeru, rundingan tidak dapat diteruskan,” katanya seperti dilapor BH Online.
Baca artikel berkaitan: PRN Johor: Rundingan dengan PKR tamat, MUDA beri bayangan pertindihan kerusi
Mengulas lanjut, Syed Ibrahim berkata, PKR tetap berpegang kepada muafakat bersama rakan dalam komponen Pakatan Harapan (PH) yang menekankan kesetiakawanan tanpa ugutan atau ancaman.
“Sejak pembangkang bersama, sama ada ketika Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat atau PH, semangat ini tetap dipegang tanpa pertindihan kerusi demi pembelaan rakyat dan masa depan negara.
“Janganlah dicemari semangat itu demi tuntutan semata-mata. Tumpulah kepada kerusi yang ditandingi untuk membela rakyat dan membawa masa depan serta maruah Johor dan rakyatnya,” katanya.
Terdahulu, Syed Saddiq dalam kenyataan dilaporkan mendakwa keputusan PKR mengumumkan senarai calon di 20 kerusi dalam PRN Johor sekali gus menamatkan rundingan rasmi bersama MUDA.
Menurut Syed Saddiq, pimpinan parti itu akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan jalan ke hadapan, hujung minggu ini sekiranya tiada sebarang perkembangan atau perubahan keputusan daripada pimpinan PKR.
Syed Saddiq berkata, sekiranya pertindihan kerusi tidak dapat dielakkan, MUDA menyerahkan keputusan kepada rakyat Johor menentukan pilihan.
MUDA sebelum ini telah diberi laluan oleh DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) untuk bertanding di enam kerusi DUN.
Enam kerusi berkenaan adalah DUN Tenang; DUN Bukit Kepong; DUN Parit Raja; DUN Machap; DUN Puteri Wangsa dan DUN Bukit Permai.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram