sprm

SEMUANYA bermula apabila Datuk Hasanah Abdul Hamid menuntut semula wang yang dirampas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setelah beliau dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi daripada pertuduhan melakukan pecah amanah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan Malaysia.

Kemudiannya daripada laporan media, didakwa duit yang tinggal hanya sebahagian di samping ada duit palsu.

Setelah melalui banyak berita menggemparkan termasuk kewujudan organisasi perisikan MEIO, rakyat Malaysia sekali lagi digemparkan dan ramai bertanya, ‘apa sudah jadi?’.

Apakah benar pegar makan padi seperti mana peribahasa Melayu yang berdasarkan wisdom orang dulu-dulu.

Persoalan ini terjawab pada 4 Januari lalu apabila seorang penguasa kanan SPRM dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan melakukan pecah amanah terhadap wang berjumlah AS$6.94 juta.

Memang banyak jumlah itu apatah lagi buat seorang penjawat awam gred 44 yang mana dalam tukaran semasa bernilai lebih RM30 juta.

Dalam prosiding itu, Shahrum Nizam Baharuddin, 41, dituduh melakukan kesalahan tersebut di Bilik Ketua Cawangan Tindakan Khas (CTK) Aras 14, Blok C, Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya antara 17 Disember 2018 dan 9 April 2019.

Selepas enam minggu, hari ni berlangsung sebutan kes tersebut.

Dan Shahrum Nizam menukar pengakuan kepada bersalah setelah pertuduhan pilihan dibacakan ke atasnya.

Penguasa kanan SPRM itu didakwa menjadikan harta iaitu wang berjumlah AS$6.94 juta bagi kegunaannya sendiri.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan maksimum lima tahun dan sebatan serta denda.

Kesudahannya seperti dilapor meluas media hari ini, Shahrum Nizam dipenjara tiga tahun dan dua sebatan.

Dalam prosiding hari ini, turut dibentangkan ke mana wang itu dibelanjakan.

Memang bukan semua kerana masih ada tunai AS$4.07 juta dan RM1.6 juta.

Yang dibeli tertuduh menggunakan wang rampasan dan yang disita seperti dilapor Bernama ialah:

1) Seutas jam tangan jenama Hublot Big Bang berwarna biru, dua jam tangan Tag Heuer dan dua jam tangan jenama Rolex 

2) Sebuah kenderaan pacuan empat roda Ford Raptor

3) Sebuah kereta Honda Civic Type R 2.4L Turbo

4) Sebuah Mercedes-Benz A250 Sport,

5) Dua motosikal berkuasa tinggi jenama Ducati (termasuk Panigale)

6) Sebuah rumah dua setengah tingkat di Kota Warisan Sepang

7) Dua bidang tanah di Jerantut, Pahang

8) Wang tunai RM8,700, dilucuthak kepada kerajaan Malaysia.

Semua itu beserta wang tunai AS$4.07 juta dan RM1.6 juta diperintahkan untuk dilucut hak kepada kerajaan.

Memang meriah.

Baca: Salah guna wang rampasan AS$6.94 juta, penguasa kanan SPRM dihukum penjara, sebat

Bekas ketua perisik lepas tanpa dibebaskan tuduhan kes pecah amanah RM50.4 juta

SPRM lucut hak Ducati V4S, Ford Ranger dan roadbike S-Works pegawai Imigresen KP19

Dan daripada apa yang dimaklumkan peguam yang mewakili pegawai SPRM itu, Shahrum Nizam berkhidmat dengan suruhanjaya itu sejak 14 November 2005.

Dan kata peguam Ahmad Hafiz A Bakar, anak guamnya memperoleh anugerah perkhidmatan cemerlang sebanyak empat kali sepanjang perkhidmatannya.

Namun, Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Ahmad Akram Gharib memohon mahkamah memberi hukuman setimpal.

Dibangkitkan DPP ialah tahap keseriusan kesalahan dan ia dilakukan oleh seorang penjawat awam yang diberi amanah dengan tugas tetapi mengambil kesempatan untuk kepentingan diri sendiri.

Selain itu, Akram juga menyebut soal nilai wang yang terlibat.

Juga dibangkitkan ialah kesalahan Shahrum Nizam telah mencemarkan imej SPRM sebagai sebuah organisasi dan individu tertentu dalam organisasi tersebut secara khasnya.

Memang itulah yang paling terkesan. Setuju dengan apa dihujahkan.