SKUAD lelaki negara layak ke perlawanan akhir selepas mengatasi Korea Selatan 3-0 dalam perlawanan separuh akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022.
Barisan pemain negara menunjukkan prestasi membanggakan pada perlawanan yang diadakan di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam hari ini.
Perseorangan utama negara Lee Zii Jia yang turun selaku pemain pertama membuktikan kehebatannya selepas menewaskan Jeon Hyeok Jin 13-21, 21-13 dan 21-15.
Biarpun tewas pada set pertama, Zii Jia tampil garang pada set kedua untuk menewaskan Hyeok Jin dan seterusnya mengheret perlawanan ke set penentuan.
Walaupun diberikan tentangan sengit oleh Hyeok Jin, Zii Jia dilihat menggunakan segala pengalaman yang dimilikinya bagi memenangi set penentuan dan sekali gus memberikan mata pertama buat skuad negara.
“Sudah pasti apabila sudah berjaya mara ke final, siapa yang tidak mahu menjadi juara. Sasaran kami sebelum ini adalah untuk mara ke final.
“Apabila sasaran itu kami sudah berjaya capai, sasaran seterusnya adalah menjadi juara. Saya percaya dengan kemampuan yang dimiliki pasukan ini untuk kami merealisasikannya,” kata Zii Jia yang juga pemain nombor tujuh dunia.
BERITA BERKAITAN Lee Zii Jia balas dendam, belasah mudah Loh Kean Yew di BATC2022
Beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang tewas mengejut di tangan beregu tidak ternama Jepun dalam aksi peringkat kumpulan, semalam bangkit daripada kekecewaan itu apabila menyumbang mata kedua buat pasukan selepas menundukkan Kim Hwi Tae-Kim Jaehwan 21-14, 20-2, 21-19.
Pemain perseorangan kedua, Ng Tze Yong yang direhatkan ketika bertemu Jepun menghadiahkan mata kemenangan buat skuad negara menerusi kemenangan ke atas Kim Joo Wan 19-21, 21-16, 21-12 sekali gus membawa Malaysia ke pentas final buat kali kedua berturut-turut.
Sebagai rekod, Malaysia tidak pernah muncul juara BATC dengan pencapaian terbaik adalah mara ke final pada edisi 2020 di Filipina sebelum tewas di tangan Indonesia 1-3.
Malaysia akan bertemu pemenang perlawanan antara Indonesia dengan Singapura dalam aksi penentuan gelaran juara, esok.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram