SIAPA ingat lagi permainan batu, gunting dan kertas semasa kanak-kanak dahulu? Di kalangan masyarakat Melayu, permainan ini dikenali sebagai ‘O-som’ yang merupakan sebuah permainan tangan antara dua orang atau lebih. Ia sangat popular sejak dahulu. Di sesetengah tempat, ada juga yang memanggil permainan ini sebagai ‘cus’ selepas kiraan 1,2,3 tamat.
Permainan ini sering digunakan untuk pemilihan rawak. Sama seperti melambung duit syiling dan dadu. Ia tidak memerlukan apa-apa material kecuali tangan sebagai penentu kalah dan menang mengikut hukum logik.
Meskipun terlalu ringkas dan dikatakan kebudak-budakan, tahukah anda bahawa permainan kuno ini telah dijadikan sebagai sebuah kejuaraan antarabangsa.
Bermula pada tahun 2002, Persatuan Batu Kertas Gunting Dunia atau World Rock Paper Scissors Society (WRPSS) telah ditubuhkan bagi mengelola kejuaraan ini. Organisasi ini juga bertanggungjawab merangka dan mempersetujui standard set peraturan untuk pertandingan o-som di peringkat antarabangsa.


WRPSS turut menetapkan cara bermain sama seperti mana permainan o-som biasa. Terdapat tiga isyarat tangan dalam pertandingan ini. Pertama, isyarat batu yang menunjukkan tangan dalam keadaan menggenggam. Kedua, isyarat gunting dengan jari telunjuk dan tengah lurus, manakala jari lain mengepal. Dan ketiga, isyarat kertas dengan tangan terbuka.
Tujuan isyarat tangan ini adalah untuk mengalahkan pihak lawan. Peraturannya, batu mengalahkan gunting, gunting mengalahkan kertas dan kertas mengalahkan batu. Jika kedua-dua pemain mengeluarkan isyarat yang sama, maka permainan perlu diulang semula. Pemain yang menang lima kali terlebih dahulu akan dikira sebagai pemenang.


Sejak WRPSS menjadikannya sebagai kejuaraan tahunan dunia, kejohanan kompetitif ini berjaya menarik perhatian peserta dari seluruh dunia. Liga pertama telah dilangsungkan di Amerika Syarikat pada tahun 2004 dengan dimenangi oleh Lee Rmmage. Permainan ini nampak mudah, tapi ia sebenarnya lebih kepada konflik, strategi dan psikologi.
Walaupun peserta tidak memerlukan latihan fizikal berpanjangan dan disiplin pemakanan yang ketat, kebanyakan mereka yang terlibat dalam liga ini memiliki susuk badan tegap dan sihat.
Satu perkara yang pasti, kita rupanya berkongsi permainan yang sama dengan seluruh penduduk dunia. Malah o-som yang selama ini dianggap hanya permainan masa zaman kanak-kanak sebenarnya warisan kuno.

Menurut Profesor Dr. Sepp Linhart dari University of Vienn, permainan menggunakan isyarat tangan versi paling biasa ditemui iaitu batu, kertas dan gunting adalah berasal dari zaman Edo hingga Meiji di Jepun lewat abad ke-19.
Bagaimanapun, permainan isyarat tangan ini mungkin telah dibangunkan lebih awal di China dalam Dinasti Ming China (1368 – 1644). Ini berdasarkan fakta yang ditulis oleh Xie Zhaozhi dalam bukunya berjudul Wuzazu. Penulis telah menyebut tentang permainan itu yang kononnya dimainkan sejak Dinasti Ming China, tetapi cara bermain tidak diterangkan.
Kini, permainan Batu Gunting Kertas masih popular di China. Mereka memanggil permainan ini sebagai ‘shoushiling’. Selain itu, ada juga menggelar o-som yang kita kenali dengan nama ‘huozhitou’ atau ‘huoquan’.
Seperti China, Batu Gunting Kertas turut menjadi salah satu permainan yang popular dan digemari oleh penduduk Jepun. Mereka menyebutnya sebagai ‘Janken’. Ada kalanya juga disebut dengan nama Ishiken, Jaiken atau Injan. Soal tentang bagaimana mereka mendapatkan nama-nama unik itu tidaklah dapat diketahui.
Dari Jepun, Batu Gunting Kertas telah merebak hingga ke luar Asia menjelang abad ke-20. Terutama selepas Jepun mengubah dasar tutup pintu terhadap kuasa-kuasa Barat kepada dasar terbuka. Permainan ini kemudian tiba di Eropah pada awal abad ke-20.
Di sesetengah negara, permainan ini mempunyai variasi simbol berbeza tetapi dengan konsep yang sama. Contohnya di Indonesia, tiga simbol yang digunakan ialah gajah, manusia dan lelawi.
Semasa era pemerintahan Dinasti Han, permainan yang dipanggil ‘shoushiling’ menggunakan watak katak, lintah dan ular. Manakala di Jepun pada abad ke-18, mereka bermain mainan ini yang dipanggil ‘janken’ menggunakan watak musang, ketua kampung dan pemburu.
Beberapa tahun lalu, sekumpulan penyelidik dari Universiti Tokyo telah mencipta sebuah robot tangan yang selalu menang dalam permainan gunting batu kertas melawan manusia. Robot ini tidak hanya memiliki ‘tangan’ tetapi juga mempunyai mata.
Mata robot ini memiliki sistem kelajuan kamera paling tinggi yang boleh mengidentifikasikan gerakan manusia hanya dalam waktu satu milisaat. Dengan sistem respons yang cepat, robot ini boleh menggerakkan tangan dan mengeluarkan bentuk ‘gunting, batu, atau kertas’ sebelum lawan manusianya selesai menggerakkan tangan.
Tetapi, ramai yang mempertikaikan kelebihan teknologi robot ini yang dianggap sebagai ‘curang’. Ini kerana robot ini mempunyai sensor teknologi yang boleh menduga pergerakan manusia.

_______
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:
Facebook: https://www.facebook.com/utusantv
Twitter: https://twitter.com/UtusanTV
Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en