Kumpulan Dolla gagal menahan rasa sebak ketika menjayakan showcase sulung mereka,Dolla Mini Showcase yang diadakan di Nero Event Space, PetalingJaya Performance Art Centre (PJPAC) di sini, malam Sabtu lalu.
Selepas dua tahun ditubuhkan, Tabby, Angel, Syasya dan Sabronzo ubat kerinduan peminat menerusi showcase sulung yang dijayakan bersama rakan radio rasmi, Hot FM.
Sejurus selepas melantunkan lagu terakhir mereka, Dolla menitiskan air mata di hadapan 150 orang penonton sebagai tanda terharu atas sokongan yang diberikan.
Mengulas perkara itu, Syasya mengakui mereka sedikit emosi kerana momen itu adalah paling dinantikan peminat setia mereka, iDolla selepas penubuhan kumpulan itu dua tahun lalu.

“Dolla muncul ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu. Justeru bila melihat iDolla di depan mata, perasaan kami tersentuh kerana inilah momen yang paling kami nantikan.
“Mereka adalah kunci kejayaan kami selama ini. Kalau ikutkan kami tak mahu menangis kerana jurusolek awal-awal lagi sudah bepesan kerana tak mahu mekap kami rosak.
“Tapi nak buat macam mana, perasaan kami sangat sensitif terutama membabitkan peminat. Kehadiran keluarga juga membuatkan kami sangat terharu kerana mereka juga adalah orang kuat di sebalik kejayaan kami serta sering memberi motivasi supaya kami tidak mudah putus asa,” katanya.
Meskipun durasi persembahan memakan masa sejam dan hanya menyampaikan lima buah lagu, namun Dolla tetap bersungguh dalam membuat persiapan.

“Kami sudah mengadakan latihan sejak sebulan lalu. Untuk tarian sahaja kami berlatih selama enam jam manakala latihan vokal mengambil masa dua hingga tiga jam sehari,” kata Sabronzo.
Menyifatkan showcase itu sebagai ujian pertama buat mereka, kumpulan yang baru muncul dengan single Bad ini turut mengakui sudah bersedia untuk membuat persembahan pada skala yang lebih besar.
“Bila dapat tahu ada ramai peminat yang tidak dapat untuk bersama-sama kami malam ini kerana lokasi yang agak kecil, dari situ timbul keinginan untuk mengadakan persembahan di lokasi yang lebih besar.
“Kami harap hasrat itu dapat ditunaikan secepat mungkin,” kata Tabby.

Lima buah lagu yang mereka nyanyikan adalah Berani, Watch Me Glow, Dolla Make You Wanna, Bad serta Cold Blooded yang dipopularkan penyanyi Korea Selatan, Jessi.
Tampil mengenakan baju hitam dengan potongan ranggi, Dolla mempamerkan persembahan penuh bertenaga menerusi koreografi yang memukau.

Sebagai acara selingan, bakat baharu, Juki turut diundang untuk menghiburkan penonton menerusi single pertamanya, Pacu yang bakal dilancarkan pada 11 Mac depan.

Terdahulu, ramai peminat meluahkan rasa kecewa apabila tiket untuk menyaksikan showcase itu laris dijual dalam tempoh lima minit selepas dilancarkan pada 30 Januari lalu.
Dolla sebelum ini pernah meraih perhatian di peringkat antarabangsa apabila terpilih sebagai artis wanita berkumpulan pertama negara yang ditampilkan di papan iklan digital di New York Times Square, Amerika Syarikat (AS).
Untuk rekod, Dolla merangkul trofi Artis Baharu Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 November lalu,