pilihan raya

PILIHAN RAYA Negeri (PRN) Johor ke-15 ditetapkan pada 12 Mac 2022. Penamaan calon pada 26 Februari. Ini merupakan PRN keempat selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, dimulai dengan Sabah, Melaka dan Sarawak.

Kestabilan politik dijadikan alasan untuk mewajarkan PRN Johor kerana kerajaan negeri mempunyai majoriti hanya satu kerusi. Wujud kebimbangan berlaku pertukaran sokongan yang membawa kejatuhan kerajaan.

Sebelum ini alasan sama digunakan untuk mengadakan PRN Melaka pada 20 November 2021. Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubar apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyokong kerajaan menarik balik sokongan.

Pada hemat penulis, PRN Melaka sebenarnya tidak perlu pun diadakan. Ini kerana dengan penarikan sokongan kepada kerajaan oleh empat ADUN itu yang mengubah sokongan kepada pembangkang, maka pembangkang mempunyai jumlah kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri.

Namun jelas kerajaan negeri yang diterajui oleh UMNO ketika itu enggan menerima hakikat ini. Sebaliknya ia menyifatkan ini sebagai kemelut politik dan memberi alasan cara terbaik mengatasinya ialah dengan mengembalikan mandat kepada rakyat melalui PRN.

Ekoran itu permohonan pembubaran DUN dibuat oleh ketua menteri yang kehilangan majoriti ketika itu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali (juga ketua menteri kini) kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam. Beliau bersetuju membubarkan DUN pada 4 Oktober 2021 bagi membuka laluan kepada PRN.

Situasi sama berlaku di Johor. Kegoyahan politik dijadikan alasan untuk membubarkan DUN atas alasan kedudukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang memerintah bagai telur di hujung tanduk. Majoriti satu kerusi dianggap berisiko tinggi yang boleh mengubah senario politik pada bila-bila masa.

BERITA BERKAITAN PRN Johor: Media rasmi dibenar perkenal semua calon, termasuk pembangkang – Annuar

Bimbang dengan keadaan ini, Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad, memohon perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail, untuk membubarkan DUN Johor. Baginda bersetuju memberi perkenan dan menandatangani watikah pembubaran secara rasmi pada 22 Januari.

Sebenarnya, walau pun dengan majoriti satu kerusi, tidak nampak ada masalah besar yang dihadapi oleh kerajaan negeri dalam melaksanakan pentadbiran kerana semangat kerjasama di kalangan parti yang mendokong PN. Sekurang-kurangnya tidak nampak perbalahan terbuka dipamerkan. Kerajaan Johor boleh bertahan selagi persefahaman ini tidak diganggu gugat.

Berdasarkan senario di Melaka dan Johor, alasan kerajaan tidak stabil sukar diterima untuk mewajarkan PRN diadakan. Sebaliknya isu yang tersirat adalah lebih kepada tidak mahu berkongsi kuasa.

Dalam kedua-dua kes di Melaka dan Johor, UMNO dilihat sebagai penggerak kepada PRN. Ini secara tidak langsung menampakkan dua matlamat utama parti itu. Pertama, tidak mahu hilang kuasa seperti kes di Melaka. Kedua, UMNO mahu memerintah sendiri, tanpa berkongsi dengan parti lain.

Di Melaka, penarikan sokongan oleh empat ADUN bermakna kerajaan negeri yang diketuai oleh UMNO tumbang. Kerana itu sekali pun pembangkang cukup kerusi menubuh kerajaan, UMNO lebih rela memohon pembubaran DUN.

Ditakdirkan, UMNO dan Barisan Nasional (BN) menang dan kembali berkuasa secara solo. Inilah yang mereka kehendaki.

Jelas UMNO begitu gembira dan teruja dengan kemenangan ini walau pun penganalisis politik memberikan pelbagai sebab mereka menang. Antaranya peratus yang keluar mengundi rendah, dan dipercayai ramai yang tidak mengundi ini penyokong pembangkang.

Menjadikan kemenangan ini sebagai ‘lulus ujian’ dan yakin sokongan rakyat sudah kembali, UMNO ghairah untuk meneruskan ujian kekuatan di lapangan. Sasaran seterusnya ialah Johor, menggunakan alasan kedudukan politik di negeri itu goyah.

Ini di sebalik hakikat bahawa menteri besarnya adalah orang UMNO. Namun UMNO nampaknya masih belum puas hati kerana bimbang jika kerajaan negeri jatuh, UMNO mungkin hilang jawatan menteri besar.

Di sebalik apa juga alasan tersurat, pemerhati politik melihat punca sebenar dan maksud tersirat UMNO mahu PRN Johor ialah parti itu dan rakannya dalam Barisan Nasional (BN) mahu membentuk kerajaan bersendirian, tanpa berkongsi kuasa, seperti juga senario di Melaka.

Ini atas keyakinan UMNO boleh menang PRN Johor dengan memperolehi majoriti membentuk kerajaan negeri. UMNO yakin ini akan dapat dicapai, berdasar semangat kejayaan di Melaka yang masih membara.

Andai UMNO menang di Johor, mungkin ada negeri lain diintai untuk menjadi sasasaran seterusnya untuk parti itu ‘menguji gelanggang’ atau test market. Mungkin Perak atau mungkin Kedah di mana ia kini berkongsi kuasa.

Jika menang di Johor selepas Melaka, UMNO tentu bertambah yakin parti itu sudah kembali diterima rakyat. Seterusnya, tidak mustahil ia akan mendesak pula diadakan segera Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 walau pun kini perdana menteri, Datuk Seri Ismail Sabri daripada UMNO.

Tiada alasan kerajaan pusat goyah selagi kerjasama di kalangan parti yang mendokong kerajaan PN dibiar melaksanakan tugas tanpa gangguan. Lagi pun persefaham sudah dimeterai dengan pembangkang untuk mereka menyokong kerajaan atas prinsip rakyat lebih diutamakan, politik dikurangkan.

Tetapi pastinya UMNO, atau sekurang-kurangnya beberapa pemimpin tertentu dalam parti itu, belum berpuas hati selagi UMNO belum berkuasa secara total, tanpa berkongsi, seperti sebelum PRU ke-14. Baik di DUN atau pusat, matlamat akhirnya ialah kuasa.

Kini UMNO meletakkan harapan untuk berkuasa bersendirian di Johor. Namun bagaimana nanti jika keputusan PRN Johor menyaksikan tidak ada parti tunggal yang menang mutlak untuk menubuhkan kerajaan negeri?

* Penulis memulakan kerjaya kewartawanan di Berita Harian pada 1979 sebelum menyertai Utusan Melayu pada 1980. Beliau kemudian melanjutkan pengajian kewartawanan sehingga peringkat sarjana di Boston University, Amerika Syarikat. Jawatan terakhir Penolong Ketua Pengarang Utusan


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!

Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram