PENYANYI, pelakon dan Youtuber terkenal Atta Halilintar mendedahkan isterinya yang juga penyanyi Aurel Hermansyah selamat melahirkan anak sulung mereka hari ini, di RSU Bunda, Jakarta.
Atta memberitahu berita gembira itu menerusi Instagramnya dengan memuat naik sebuah video pendek memegang erat tangan bayinya yang dikenali sebagai ‘Baby A’ itu.
“22.2.2022. malaikat hidupku,” tulis ringkas Atta.
Atta yang teruja menyambut kedatangan anak sulungnya itu, turut memuat naik beberapa keping gambar sedang menghiasi bilik tidur anaknya dengan warna merah jambu, semalam.
“Nak, biliknya dah siap. Papa sudah bersiap sedia untuk menyambut kamu dari perut ibu hebatmu,” katanya.
Bagaimanapun, pelakon Belok Kanan Barcelona itu tidak memaklumkan nama serta jantina anak sulung dalam keluarga tersebut.
Tinjauan URTV ke ruangan komen mendapati, rata-rata peminat dan rakan artis menzahirkan ucapan tahniah dan mendoakan urusan keluarga pelakon itu dipermudahkan.
“Masha-Allah, comelnya. Selamat abang Atta dan kak Aurell. Semoga menjadi anak yang soleh atau soleha, berbahagia didunia dan akhirat,” kata @Ashiaaapid.
“Alhamdulilah, semoga sihat bayi dan ibunya. Jadi kebanggaan keluarga,” ujar @Dedisuherman.
“Tahniah Atta dan Aurel, saya tumpang gembira untuk kalian berdua,” komen @Kevinaprilio.
Untuk info, pasangan selebriti ini telah mendirikan rumah tangga pada 3 April 2021 dan pada Mei 2021 juga Aurel pernah mengalami keguguran.