Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur GAMBAR: Abd Razak Aid

PENERBIT dan penulis Gay is Okay!  A Christian Perspective hari ini berjaya dalam permohonan mereka untuk membatalkan perintah Menteri Dalam Negeri yang mengharamkan buku itu pada 2020.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Noorin Badaruddin membuat keputusan itu selepas membenarkan semakan kehakiman penerbit buku itu Chong Ton Sin dan penulisnya Ngeo Boon Lin.

Dalam penghakimannya, Noorin berkata tiada bukti atau fakta perundangan bagi justifikasi Menteri Dalam Negeri yang menjadi asas perintah pengharaman itu. 

“Harus diingat bahawa buku itu adalah berkaitan homoseksualiti daripada perspektif agama Kristian. 

“Selepas membaca keseluruhan buku itu dan memahaminya dari sudut yang objektif, mahkamah mendapati selain kompilasi artikel yang ditulis oleh pemohon kedua serta disiarkan dalam portal Malaysiakini dari 2010 hingga 2011, ia merupakan pandangan penulis daripada perspektif agama Kristian mengenai homoseksualiti,” katanya pada prosiding hari ini yang berlangsung secara dalam talian.

Beliau berkata buku itu sepatutnya dihadkan kepada agama Kristian meskipun mungkin terdapat beberapa persepsi subjektif mengenai kandungan, penilaian dan nilainya.

Noorin berkata selepas lebih tujuh tahun penerbitannya, responden iaitu Menteri Dalam Negeri dan kerajaan gagal membuktikan bahawa telah berlaku prejudis terhadap ketenteraman awam. 

“Apabila bukti sedemikian tidak dikemukakan, maka buku itu tidak mungkin menjejaskan ketenteraman awam. Hak untuk menzahirkan pandangan adalah hak kebebasan bersuara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. 

“Sudah tentu hak ini mempunyai hadnya. Bagaimanapun, pada akhir keseluruhan buku ini, yang mengandungi pandangan penulis, seperti dalam kes ini, tanpa pemohon diberikan hak untuk didengar atau menjawab dakwaan terhadap buku itu dan mahkamah berpendapat keputusan itu adalah tidak rasional kerana buku itu sudah diedarkan sejak sekian lama,” katanya.

Beliau juga berkata mahkamah berpendapat bahawa Menteri Dalam Negeri mempunyai kewajipan untuk mengemukakan alasan lebih-lebih lagi dalam isu yang menyaksikan kebebasan bersuara disekat dan prinsip keadilan yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan dicabuli. 

Pada 17 Feb 2021, Chong dan Ngeo memfailkan semakan kehakiman yang mendakwa perintah pengharaman itu adalah tidak rasional serta tidak seimbang kerana tidak berlaku insiden tidak diingini yang dicetuskan oleh buku tersebut sejak ia diterbitkan lebih tujuh tahun lepas.

Mereka mendakwa bahagian satu buku itu telah disiarkan dalam portal Malaysiakini dari 2010 hingga 2011.

Pemohon mendakwa Menteri Dalam Negeri gagal memberikan sebarang alasan bagaimana buku itu mungkin memudaratkan moraliti dan menjejaskan ketenteraman awam.

Pada 18 Dis 2020, Bernama melaporkan bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mewartakan satu perintah larangan terhadap buku Gay is OK! A Christian Perspective mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, yang berkuat kuasa pada 27 Nov tahun sama.

Ketua Setiausaha KDN Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata perintah larangan itu dikeluarkan kerana terdapat kandungan buku tersebut mungkin memudaratkan ketenteraman awam, kemoralan dan kepentingan awam.

Peguam Edmund Bon dan Micheal Chia mewakili pemohon manakala responden diwakili Peguam Kanan Persekutuan Mohammad Salehuddin Md Ali.

— BERNAMA