DI wilayah Zaragoza di Sepanyol, terdapat dua buah kampung yang bersebelahan dan menggunakan nama yang sama – Belchite. Pada waktu sekarang, hanya sebuah bandar Belchite sahaja yang berfungsi menampung lebih kurang 1,600 penduduk. Bandar yang satu lagi merupakan bandar yang sudah terbiar lebih 80 tahun, dan turut dikenali sebagai perkampungan berhantu di Sepanyol.

Kampung Belchite yang terbiar itu musnah pada musim panas tahun 1937 ketika Perang Saudara Sepanyol meletus. Peperangan yang berakhir pada September 1937 itu telah meragut lebih 3,000 nyawa penduduk di situ.

Sumber air ke kampung itu telah diputuskan menyebabkan ramai penduduk mati kehausan, selebihnya kerana kelaparan. Banyak rumah yang ditembak daripada jarak jauh. Beratus-ratus mangsa juga mati dibakar dan tertimbus di bawah tanah.

Setelah perang tamat, kampung itu diminta untuk dikosongkan sebagai tanda ingatan kepada para pejuang yang telah terkorban. Dan penduduk berpindah ke penempatan baru bersebelahan kampung asal yang menggunakan nama yang sama. Dikatakan pelbagai jelmaan dan bunyi aneh sering muncul dan kedengaran dari kampung terbiar itu. Antaranya bunyi tangisan bayi dan jeritan meminta tolong.

Kampung asal Belchite yang terbiar dan menjadi ‘pekan hantu’.

*****

KULDHARA, sebuah kampung terbiar yang sudah lama ditinggalkan, terletak di Jaisalmer dalam daerah Rajasthan di India. Kampung ini sudah hampir 200 tahun kosong tidak berpenghuni. Diceritakan sekitar tahun 1825, penduduk kampung meninggalkan kawasan itu berserta segala isinya. Hampir 1,000 penduduk keluar senyap-senyap pada waktu malam.

Puncanya disebabkan seorang lelaki bernama Salim Singh, pengutip cukai yang menjengkelkan. Salim datang ke Kuldhara dan terpikat dengan anak gadis penghulu kampung. Salim bertegas mahukan gadis itu. Jika tidak, dia mengugut akan menaikkan bayaran cukai kepada semua penduduk kampung. Tidak sanggup menggadaikan anak perempuan ketua kampung, juga tidak tahan dengan kekejaman Salim, penduduk bertindak keluar dari situ.

Dikatakan sebelum pergi, mereka meninggalkan satu sumpahan yakni tidak ada sesiapapun yang akan dapat membina kehidupan di situ lagi. Hari ini, Kuldhara dilihat sebagai sebuah penempatan terbiar. Tiada sesiapa berani tinggal di situ.

Kuldhara, perkampungan yang telah lama ditinggalkan.

*****

Voltri adalah sebuah desa kecil dalam wilayah Genoa di Itali. Desa ini terkenal dengan kisah hantunya. Ceritanya begini, sebelum Perang Dunia Ke-2 meletus, terdapat sebuah rumah di dusun Voltri yang menjalankan aktiviti perhotelan. Kegiatan itu dilakukan oleh sebuah keluarga yang mengalami masalah mental.

Rumah yang disebut sebagai ‘casa delle anime’ itu terletak di jalan yang berliku dan biasanya menjadi tempat persinggahan pedagang, askar atau mereka yang lalu di kawasan tersebut. Bagaimana hotel itu berfungsi?

Keluarga aneh itu akan menjemput orang yang lalu di kwasan itu untuk bermalam di hotel mereka. Apabila tetamu tidur, mereka akan membunuh satu persatu tetamu itu dan mengambil wang dan barangan berharga milik mangsa. Mayat-mayat mangsa kemudian dilupuskan dalam perkuburan luas di ruang bawah tanah.

Keluarga itu berterusan membunuh tetamu mereka sehinggalah kediaman itu mula mengalami pelbagai gangguan misteri yang dikatakan berpunca daripada roh mangsa yang tidak tenteram. Akhirnya, rumah itu dibiarkan kosong.

Selepas Perang Dunia ke-2, sepasang suami isteri membeli rumah tersebut. Pelbagai penampakan aneh sering berlaku. Barangan bergerak sendiri dan bunyi-bunyi aneh sering kedengaran. Dikatakan itu cara roh-roh mangsa memberitahu bahawa mereka tidak tenteram di situ.

Terletak di Voltri, rumah ini dahulu dijadikan hotel untuk keluarga mental membunuh para tetamunya.

*****

Ketika Perang Dunia Ke-2 hampir berakhir, berlaku satu pembunuhan ke atas lebih 600 penduduk perkampungan Oradour-Sur-Glane berdekatan kota Limoges, Perancis.

Tentera Jerman memasuki kawasan tersebut pada Jun 1944 dan memberitahu Datuk Bandar bahawa mereka mahu membuat semakan identiti penduduk. Kanak-kanak dan wanita diasingkan ke gereja, manakala kaum lelaki dibawa ke bangsal.

Tentera Jerman kemudian membunuh semua kaum lelaki. Kaum wanita sepatutnya dibunuh dengan gas beracun, namun disebabkan tidak berfungsi, mereka mati dibom. Tentera Jerman kemudiannya membakar semua rumah penduduk.

Sebuah kampung yang baru dengan nama yang sama dibina pada tahun 1958. Bagaimanapun, penduduk tidak berani menjejakkan kaki ke kampung asal kerana mereka pernah terlihat roh lelaki-lelaki yang terkorban berkeliaran, bayangan kanak-kanak menangis dalam pangkuan ibu mereka, malah juga sering terhidu bau seakan daging hangus terbakar.

Perkampungan Oradour-Sur-Glane yang telah ditinggalkan.

_______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV.