Kisah Rasulullah disihir

Nabi Muhammad s.a.w. telah beberapa kali cuba disihir oleh kaum Yahudi. Dalam kitab Sahih Al-Bukhari dan Sahih Muslim, terdapat satu riwayat tentang kisah Rasulullah yang disihir oleh Labib bin Al-A’sam.

Bahan sihir yang digunakan ialah rambut Nabi yang diikat pada mayang kurma dan ditanam dalam sebuah telaga bernama telaga Za’rawan. Akibat sihir tersebut, Baginda merasakan seolah-olah sudah bermalam di rumah salah seorang isterinya sedangkan Baginda tidak melakukan demikian.

Perkara ini berlarutan untuk suatu tempoh hinggalah Baginda diberitahu oleh malaikat bahawa Baginda terkena sihir. Maka Nabi s.a.w. telah meminta para sahabat untuk pergi mendapatkan bahan-bahan sihir yang ditanam itu dan meleraikannya. Sebaik sahaja simpulan sihir tersebut dileraikan, maka kesan sihir itu telah hilang.

Kisah nabi disihir ini merupakan satu panduan untuk kita berdepan dengan masalah sihir. Langkah pertama yang Nabi tunjukkan ialah dengan meleraikan dan memusnahkan bahan-bahan sihir yang digunakan untuk menyihir seseorang. Ini bermakna, selagi mana bahan tersebut masih dalam keadaan tidak dileraikan, maka selagi itulah kesan sihir itu akan dirasai oleh mangsa.

Cara meleraikan bahan sihir itu juga mesti mengikut cara yang telah ditunjukkan oleh Nabi iaitu dengan pergi mendapatkan sendiri bahan-bahan tersebut, bukannya dengan cara menarik  dari jauh melalui khidmat pawang atau bomoh.

Kadang-kadang, mangsa sihir akan mendapat petunjuk tentang bahan-bahan yang digunakan. Mungkin kadang-kadang bermimpi tempat ianya ditanam, mungkin terbayang-bayang lokasi ianya dilakukan, mungkin menyebut suatu petanda tentang bahan tersebut dikala tidak sedar akibat rasukan.

Nabi s.a.w. diperlihatkan kedudukan mayang kurma yang diikat rambut Baginda dan Baginda meminta para sahabat untuk pergi mengambil dan meleraikannya. Itulah cara bagaimana untuk mengatasi sihir yang dilakukan.

Ada Hikmahnya

Dalam kisah ini juga, jika kita perhalusi ada pengajaran yang ingin Allah tunjukkan pada kita. Baginda s.a.w. merupakan seorang manusia yang paling dikasihi Allah dan Malaikat. Malah Baginda seorang nabi dan Rasul yang pastinya jika sesuatu ancaman berlaku sudah pasti Allah dan malaikat akan memberi amaran atau setidaknya menggagalkan rencana jahat usaha sihir tersebut.

Namun ironinya Baginda s.a.w. tetap juga disihir dan Allah tetap juga memberi keizinan supaya Baginda merasa kesan sihir tersebut. Apakah ini menunjukkan Allah tidak sayang kepada Baginda atau para Malaikat tidak melindungi Muhammad kekasih Allah?

Sudah pastinya jawapannya adalah pertama ini bukti Baginda s.a.w. adalah manusia biasa yang sama seperti kita. Baginda tetap diuji dengan pelbagai kesukaran, penderitaan, kesakitan dan sebagainya walaupun beliau adalah manusia paling istimewa.

Kedua dalam kisah ini ada pengajaran yang Allah ingin tunjukkan kepada kita bahawa jika berlaku sesuatu masalah terutama disihir maka musnahkan ia dengan cara yang dilakukan oleh Baginda bukan bertemu bomoh atau dukun yang ternyata terpesong akidah mereka.

Dan ketiga jelas bahawa tipu daya dan helah licik iblis terhadap anak Adam adalah benar. Jika Baginda s.a.w. manusia agung juga berjaya diperdaya inikan pula kita hanya manusia biasa yang tak pernah terlepas dari melakukan dosa dan kurang amal ibadahnya. Sudah pasti mudah bagi iblis, syaitan dan bala tenteranya. Jadi selalulah memohon perlindungan dengan Allah dari tipu daya syaitan yang direjam. Wallahu a’lam

_______________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare