JIKA disebut satu persatu lagu lagu ciptaan dan nyanyian Amylea, semua pasti jatuh cinta. Daripada melodi dan lirik dihasilkan ia cukup menyentuh jiwa.

Ditambah pula, kebanyakan lagu dilancarkan sering menjadi lagu tema drama popular tanah air.

Siapa sangka, ini adalah tahun ke-18 Amylea terbabit dalam bidang muzik tempatan. Dia yang pada awalnya menyertai Akademi Fantasia musim ketiga, terus mencipta nama bukan saja sebagai penyanyi tetapi juga komposer dan penulis lirik ternama.

Terbaharu, Amylea, 36, atau nama sebenarnya Amylea Azizan muncul dengan single Melepaskanmu yang juga ciptaan sepenuh olehnya dan bakal mengisi drama Khilaf Asmara sebagai lagu tema.

Menerusi lagu ini, Amylea sekali lagi bekerjasama dengan syarikat produksi Radius One yang juga penerbit bagi drama Khilaf Asmara yang bakal ditayangkan di TV3 pada Ramadan ini.

“Untuk drama Khilaf Asmara kita ada dua lagu baharu. Lagu pertama adalah Melepaskanmu yang dinyanyikan oleh saya dan satu lagi tajuknya Khilaf Asmara yang dinyanyikan oleh Shila Amzah.

“Selain itu, ada juga lagu lain yang dinyanyikan oleh beberapa artis lain.

“Saya selesa dengan Radius One kerana semuanya dipantau sangat teliti sama ada dari segi ‘sound’, ‘visual’ dan ‘scriptwriting’. Sebelum kita membuat rakaman ia sudah dibincangkan sejak berbulan-bulan dan itu membuatkan saya rasa sangat dihargai.

“Sebab itu saya suka dan selesa bersama mereka. Saya suka tekankan yang saya bukan baharu dalam pembuatan lagu untuk drama. Saya sudah mula sejak 2007 lagi.

“Saya bukan komposer dan penyanyi baharu, ini adalah tahun ke-18 saya dalam industri. Jadi sudah tentu saya ingin pergi lebih jauh,” katanya.

Berkongsi mengenai single berkenaan, Amylea berkata lagu Melepaskanmu sepatutnya dilancarkan lebih awal pada Mac tahun lalu.

“Lagu ini dijadualkan keluar pada Mac tahun lalu tetapi terpaksa ditangguhkan kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehinggalah industri kreatif mula dibenarkan beroperasi semula.

“Penulisan dan rakaman lagu ini pada tahun lepas dan semuanya sudah ‘backdated’ sebenarnya jadi lagu ini kita boleh katakan sebagai ‘flashback’ atau ‘throwback’ apa yang saya tulis berkenaan perasaan saya pada tahun lepas.

“Sebab tahun ini saya sudah sediakan lagu lain yang berbeza ‘mood’ dan ‘vibe’. Saya mohon maaf kepada peminat dan pendengar yang sukakan lagu daripada saya kerana perlu menunggu terlalu lama. Banyak sangat dugaan tahun lepas sehingga tak boleh nak keluarkan lagu.

“Jadi apa yang boleh dikatakan, lagu Melepaskanmu adalah ‘opening act’ untuk beberapa lagi lagu yang saya tak sabar nak keluarkan. Jadi saya harap media dan juga penggemar muzik Malaysia boleh memberikan sokongan kepada saya selepas lagu Kendati tahun lepas,” ujarnya.

Dalam masa sama, Amylea berkata, lagu Melepaskanmu menjadi karya terakhir sebelum dia berehat seketika dari menghasilkan lagu berentak balada.

“Lagu ini berentak balada sama dengan jalan cerita drama ini. Mungkin selepas ini saya akan berehat sekejap dengan genre balada.

“Bukan saya tak mahu untuk buat genre lain tetapi perlu ikut kehendak serta kesesuaian drama itu, jadi ia masih lagi berentak balada dan saya harap orang boleh terimanya.

“Lagu Melepaskanmu ini lebih kepada rasa reda. Saya tahu ramai orang akan cakap ini adalah daripada kisah sebenar saya. Kadang-kadang cerita daripada kita ini adalah lebih kurang sama. Ada dugaan yang lebih kurang cuma ‘details’ sahaja yang berbeza.

“Jadi cerita dalam drama ini juga adalah refleksi daripada cerita yang terjadi dalam kalangan masyarakat yang mana skripnya diolah sebegitu.


“Kalau sedikit sebanyak ada menyentuh peribadi seseorang termasuk diri saya sendiri itu adalah kebetulan. Mungkin sebagai seorang penulis saya dapat ungkapkan berkenaan diri saya dan akan lebih memberi kesan dihati pendengar,” katanya.

Bercerita mengenai video muzik (MV) lagu Melepaskanmu, Amylea berkata ia memaparkan kesedihan yang ditanggung tatkala perlu melepaskan seseorang.

“Selalunya dalam MV orang nak kelihatan cantik. Tapi dalam MV ini pula sebaliknya. Walaupun di luar dia kelihatan bergaul dan berkawan dengan orang, tapi kesedihan disimpan dalam diri lain.

“MV ini lebih kepada lakonan yang memaparkan kesedihan, tertekan dan tidak bermaya. Pendek kata, MV ini memang paparkan kesedihan,” jelasnya.

Sementara itu ditanya mengenai perancangannya untuk berkolaborasi dengan penyanyi lain, Amylea mempunyai aturan tersendiri.

“Untuk kolaborasi memang ada dalam perancangan tetapi tidak tahu bila dan untuk lagu apa.

“Cuma saya segan nak beritahu dulu sebab tak pasti sama ada jadi atau tidak yang pastinya ada satu kolaborasi saya dengan Kumpulan Masdo tetapi masih terlalu awal untuk dipromosikan.

“Ia adalah kolaborasi untuk filem yang mana saya juga berlakon dalam filem itu,” akhirinya.