SELEPAS sebulan mendirikan rumah tangga, adik kepada pelakon dan usahawan terkenal, Noor Neelofa iaitu Athisha Khan mengakui kehidupannya lebih bahagia bersama suaminya, Wan Amirul Haiqal.

Namun, timbul pula spekulasi mengenai dirinya kini sedang berbadan dua selepas sebuah video tular di media sosial sejak lima hari lalu. Ujar Athisha, video terbabit hanya sekadar gurauan antara keluarganya.

“Setakat ini, saya bahagia alhamdulilah. Saya dan suami menikmati momen-momen sepanjang sebulan hidup bersama.

“Mama gurau sebenarnya, bila tengok video penuh tersebut, itu hanyalah gurauan. Tak ada apa-apa yang kami jangkakan, tapi Insya-Allah satu hari nanti (hamil).

“Keluarga saya memang sebegitu (suka bergurau), kali ini saya pula terkena,” katanya kepada URTV ketika ditemui pada majlis pelancaran Disney X Naelofar The Little Mermaid di sebuah pusat membeli-belah di Bandar Utama, hari ini.

Tambah anak ketujuh daripada sembilan adik-beradik itu lagi, dia sentiasa menantikan kehadiran cahaya mata pertama dalam keluarga kecilnya.

Malah, buat masa ini dia hanya fokus kepada kerjaya dan akan merancang percutian berbulan madu pada pertengahan tahun ini.

“Kami berdua sudah berbincang untuk tidak merancang bila waktunya (mengandung), kami hanya ikut ‘flow’ dan Allah adalah sebaik-baik perancang.

“Kalau ada rezeki awal dapat zuriat, sudah semestinya saya tidak akan menolak.

“Buat masa sekarang, kami berdua sedang sibuk bekerja. Berkemungkinan selepas raya kami akan rancang lokasi untuk berbulan madu,” jelasnya lagi.

Terdahulu, ibunya, Datin Noor Kartini berkongsi sebuah video di aplikasi TikTok ketika menyambut ulang tahun kelahiran anaknya itu sambil memaklumkan Athisha sudah hamil.

Bagaimanapun, Athisha yang terkejut dengan dakwaan ibunya itu menafikan berita tersebut dan menjelaskan kepada netizen ia hanyalah sekadar gurauan antara ibu dan anak.

Untuk info, Athisha mendirikan rumah tangga bersama Wan Amirul Haiqal pada 22 Januari lalu di Pusat Konvensyen Sime Darby, Kuala Lumpur.