‘PERSETERUAN’ antara PKR dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) kian panas gara-gara berebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin.
Terbaharu, PKR mempersoalkan tindakan Muda bertanding di kawasan berkenaan, sedangkan sudah mengetahui PKR turut bertanding di situ.
Bahkan tindakan itu disifatkan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd. Nasir akan menimbulkan kekeliruan dan kecelaruan terhadap pengundi di kawasan berkenaan untuk memilih antara dua parti berkenaan.
PKR yang sudah mengumumkan Dr. Zamil Najwah Arbain tidak akan berganjak dari Larkin kerana parti itu diberikan kerusi hasil perbincangan di peringkat Pakatan Harapan (PH).
“Keputusan Muda mencetuskan pertembungan sesama pembangkang di Larkin tidak akan ganggu fokus PKR. Tindakan mereka ini hanya mengesahkan tanggapan ramai yang menyifatkan gaya politik Muda masih dangkal dan tidak matang.
“Walaupun Muda mempunyai hak demokrasi meletak calon di mana-mana kerusi yang mereka ingin, tetapi kami tertanya-tanya apa motif sebenar Muda,” katanya dalam sidang mediachari ini.
Semalam, Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan nama Rasid Abu Bakar di kerusi Larkin yang menjadikan parti itu bertanding di tujuh kerusi berbanding enam yang dipersetujui dengan PH.
Akmal Nasrullah berkata, masih ada waktu untuk Muda mengubah fikiran dengan meletakkan kepentingan pembangkang yang mahu mengalahkan pihak lawan terutamanya Barisan Nasional (BN).
Katanya, langkah Muda itu juga akan memberi keuntungan kepada UMNO-BN walaupun kerusi berkenaan disandang oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang pernah bersama-sama PH dahulu.
Ditanya adakah tindakan Muda itu akan menyukarkan gerak kerja PH melibatkan jentera DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah), Akmal Nasrullah berkata, mereka perlu meletakkan kepentingan PH sebagai lebih utama.
“DAP dan Amanah perlu menyatakan komitmen bahawa kita angkat semangat PH kalau Muda masih nak langgar (Larkin) kerana itu hak demokrasi.
“Tetapi PH masih terikat sebagai satu gabungan. Jadi, kami mengharapkan PH meletak kepentingan gabungan terlebih dahulu (bagi membantu kempen),” katanya.