Segala makan pakai disediakan tanpa banyak bicara, kediaman dan keperluan anak-anak lengkap tanpa perlu meminta. Itulah suami, tak banyak karenah, jarang berkongsi masalah namun cukup taat dalam menafkahi keluarga.

Perkongsian Nor Adibah Rozain membuka mata bagaimana golongan suami melunaskan tanggungjawab setiap bulan. Romantis mereka bukan pada kejutan istimewa namun kerja keras bagi memastikan segala keperluan isteri dan anak-anak mencukupi.

“Pagi hari gaji:

Suami transfer siap-siap segala nafkah, bayaran2 bil & yuran anak-anak.

Bila tengok list apa yang suami bayar secara jelas barulah akan betul-betul terasa banyaknya jumlah tanggungan yang perlu dibiayai.

Menambahkan rasa terima kasih dan menghargai. Adakala bila segalanya telah dibayar tanpa kita sedari, kita akan jadi terlupa untuk bersyukur serta berterima kasih.

Tau minum saje air Coway, tanpa sedar ada yang membiayai bil bulanan mesin itu dan airnya,

Tau duduk saje dalam rumah, tanpa sedar ada yang membayar harga dan bil elektriknya,

Tau hantar saje anak ke sekolah dengan ceria saban hari, tanpa sedar ada yang setiap bulan melunaskan yurannya,

Tau guna saje kereta, hampir tak teringat suami yang telah menghabiskan bayarannya dan membiaya pembaharuan roadtax dan segala perbelanjaan maintanance nya.

Dan pelbagai lagi yang apabila disenaraikan satu persatu baharulah terlihat jelas apa yang ditanggung oleh seorang suami.

Tanda kasihnya mungkin bukan pada romantisnya membuat kejutan demi kejutan atau untaian kata-kata manis, tetapi tanda kasihnya tetap terlihat pada betapa dia bertungkus lumus dalam menafkahi ahli keluarganya.

Begitulah seorang suami, mulutnya tidak banyak berbicara tentang kesusahan dirinya, tetapi apabila tanggungjawab itu dilunaskan, tahulah si isteri akan betapa berat tanggungjawab yang cuba digalasnya sebaik mungkin.

Apabila suami melunaskan nafkah, bertanggungjawab dan bersifat ihsan, maka isteri akan lebih mudah memberikan hormat dan taat.

Semoga Allah merahmati dan memberikan kebahagiaan serta sebaik-baik ganjaran buat suami yang budiman, yang menyantuni dan menafkahi ahli keluarganya dengan penuh ihsan dan kasih sayang.”

Sumber : Nor Adibah Rozain