SELEPAS dua tahun menjaga prosedur operasi standard (SOP) dan pelbagai cara dilakukan bagi mengelak daripada dijangkiti wabak Covid-19, akhirnya pelakon dan penyanyi Janna Nick disahkan positif virus berkenaan.

Khabar itu dimaklumkan sendiri oleh Janna dalam beberapa entri yang dimuat naik dalam InstaStory miliknya.

“Saya positif setelah dua tahun lebih bertarung dengan Covid-19, akhirnya kecundang jua.

“Semalam macam okey lagi, malam tadi dah rasa sakit tekak perit sangat, macam nak demam, rasa sejuk dan sakit badan,” katanya.

Menurut penyanyi lagu Gatal itu lagi, dia mengalami beberapa gejala antaranya hidung tersumbat dan sakit tekak.

“Hidung pun dah mula tersumbat, ada banyak ubat yang saya sudah sediakan.

“Doakan saya cepat sembuh, saya minta maaf sesiapa yang ada jumpa saya,” tuturnya.

Sementara itu, Janna turut berkongsi luahan apabila tindakannya yang melakukan ujian calitan Covid-19 berulang kali mendapat kritikan daripada netizen.

Ujarnya, dia berbuat demikian kerana berasa yakin dirinya positif Covid-19 selain berasa tidak sihat sejak semalam.

“Semalam ramai mesej saya cakap kalau dah negatif tidak perlu kalut minta untuk positif.

“Saya bukan saja-saja nak buat ‘content’ atau terhegeh-hegeh buat RTK (rapid test kit) atau PCR (polymerase chain reaction) untuk dapat keputusan positif.

“Saya buat sebab kita boleh rasa badan kita tak sihat, sebab saya bukan senang sakit, jadi saya dah boleh agak saya positif. Itulah sebab semalam saya terus buat PCR,” katanya.

Penyanyi berusia 26 tahun itu berkongsi keputusan ujian calitan terbaharu yang dilakukan mendapati dia positif virus Covid-19 pada pagi Sabtu (hari ini).

Pada Jumaat, Janna memberitahu dia melakukan ujian kendiri dan mendapati alat tersebut menunjukkan dua garis positif.

Janna kemudian ke klinik berdekatan dan melakukan ujian RTK, namun keputusan negatif.

Tidak berpuas hati kerana yakin sudah dijangkiti, dia mengambil keputusan melakukan ujian ketiga iaitu PCR dan akhirnya dia disahkan positif virus berkenaan