SEDANG sarat hamil enam bulan, pelakon Syatilla Melvin tidak menduga disahkan positif Covid-19.

Syatilla menerusi hantaran di Instagram turut berkongsi keputusan ujian calitan Covid-19 yang menunjukkan keputusan positif.

“Insya-Allah berkat hari Jumaat (semalam), hujan lebat, doakan Tilla sembuh dengan segala kebaikan yang ada,” tulisnya di ruangan kapsyen.

Sementara itu suami Syatilla iaitu aktor Shaheizy Sam berkata,isterinya itu tidak mengalami sebarang simptom yang teruk dan bersyukur dia berada dalam keadaan baik.

“Alhamdulillah isteri baik-baik sahaja dan sedang menjalani kuarantin kendiri di rumah sahaja.

“Walaupun dia sedang sarat hamil, tetapi dia tidak dibawa ke hospital kerana kondisi kesihatannya masih ditahap yang baik.

“Rasanya varian yang baharu ini tidak seteruk seperti yang ramai perkatakan sebelum ini.

“Sebenarnya pengurus isteri saya disahkan positif Covid-19, selepas itu dia (isteri) mula mengalami sakit tekak dan keputusan ujian calitan menunjukkan dua garisan (positif),” katanya.

Dalam pada itu, Sam bersyukur apabila isterinya sudah lengkap dua dos vaksin serta suntikan penggalak sekaligus membuatkan dirinya tidak terlalu risau kerana sudah ada pelindung dalam badan.

“Alhamdulillah, dia dah lengkap semua dos vaksin termasuk dos penggalak. Setakat ini keadaanya okay sahaja dan tidak terlalu teruk.

“Setakat ini, hanya isteri sahaja yang positif. Saya dan anak-anak semua negatif.

“Nasib baik ada pembantu rumah yang dapat membantu jaga dan sediakan makanan anak-anak sementara saya akan memantau bacaan oksigen serta menyediakan vitamin yang cukup untuk isteri saya.