SEKALI imbas nampak macam daun. Tapi, jangan salah. Ini sebenarnya bukan tumbuhan, tetapi adalah sejenis haiwan. Kalau anda nak tahu, inilah dia siput laut hijau.

Ia hanyalah seekor siput, Tetapi bukan sembarangan siput. Menurut Sidney Pierce, ahli biologi dari University of South Florida, spesies siput ini merupakan satu-satunya haiwan yang mampu melakukan proses fotosintesis, sama seperti tumbuhan hijau.

Eh, takkan haiwan boleh melakukan proses fotosintesis? Pelik, bukan?

Siput laut hijau atau nama saintifiknya ‘elysia chlorotica’ adalah spesies haiwan pertama yang ditemui dapat menghasilkan pigmen klorofil tumbuhan. Saiz siput dewasa antara 20mm hingga 30mm.

Berdasarkan kajian Pierce, beliau menemui spesies ini setelah 20 tahun menjalani kajian mengenai hidupan unik. Penemuannya telah dibentangkan dalam mesyuarat tahunan Society For Integrative dan Perbandingan Biologi di Seattle pada Januari 2010. Ia juga dilaporkan sebagai penemuan pertama dalam Science News.

Siput laut hijau, haiwan yang mampu melakukan proses fotosintesis seperti tumbuhan.
Sekali imbas, siput ini kelihatan seperti daun.

Habitat siput ini mula dikenal pasti berada pada anak sungai yang cetek, laut dan paya-paya sekitar New England dan Kanada. Siput ini juga sering dijumpai berdekatan dengan sumber utama makanannya iaitu ‘vaucheria litorea’ atau dalam bahasa mudahnya lebih dikenali sebagai alga.

Bagaimana haiwan ini boleh menjalani proses fotosintesis?

Berada pada kedalaman 0.5 meter daripada permukaan air, siput ini mempunyai dua peringkat kehidupan. Peringkat awal dinamakan remaja. Pada fasa ini ia adalah haiwan sepenuhnya. Ketika ini, ia berwarna coklat dan ada juga kelihatan kelabu. 

Apabila memasuki fasa kedua iaitu menjadi dewasa, siput ini mula memakan alga. Waktu inilah tubuh haiwan ini mula menciplak gen dari alga tadi lalu menghasilkan pigmen hijau di badan. Sel yang ‘diduplikasikan’ ini merupakan sel kloroplas yang digunakan untuk melakukan proses fotosintesis.

Apa pula beza antara kloroplas dan klorofil? Secara ringkasnya, klorofil ada di dalam kloroplas. Klorofil jugalah yang menghasilkan pigmen berwarna hijau. Ini yang menyebabkan kita lihat tumbuhan berwarna hijau. Perkara yang sama juga berlaku kepada siput ini yang bertukar daripada warna asal menjadi hijau dek kerana hasil ‘duplikasi‘ klorofil dari alga tersebut.

Proses kitaran hidup siput laut hijau.

Proses duplikasi ini hanya berlaku pada siput ini sahaja. Cuba bayangkan jika ia berlaku pada manusia? Kita makan sayuran hijau dan badan bertukar menjadi warna hijau. Namun hal ini tidak berlaku pada manusia mahupun hidupan lain kerana sistem penghadaman akan mencerna apa sahaja yang dimakan. Sebab itu siput ini dikatakan unik kerana mampu bertukar warna sama seperti alga yang menjadi makanannya.

Proses fotosintesis memerlukan sinar matahari, air dan karbon dioksida. Klorofil yang ada pada tumbuhan digunakan untuk menyerap cahaya matahari lalu menukarnya menjadi tenaga. Sama seperti tumbuh-tumbuhan, siput ini juga mampu berbuat demikian. Klorofil yang ada padanya digunakan untuk menghasilkan proses ini.

Siput ini boleh hidup dalam tempoh masa yang lama setelah memakan alga. Asalkan ada cahaya matahari, ia tidak perlu lagi makan selepas itu untuk mendapatkan tenaga. Ini kerana ia mampu untuk menghasilkan makanannya sendiri.

Sebab itu juga siput ini tidak berada pada kedalaman yang tidak mencapai sumber matahari. Buktinya, sekumpulan pengkaji mengumpulkan sejumlah siput ini dan menyimpannya dalam akuarium selama berbulan-bulan dan diberi cahaya matahari selama 12 jam sehari. Hasilnya, siput ini mampu bertahan walaupun tidak diberi makanan.

Siput laut hijau. Nampak comel kan?

_______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV.