Gambaran Buroq israk mikraj
Suasana sepanjang pesta Tabuik yang sering diraikan oleh penduduk kota Pariaman ketika bulan Muharam

Terik matahari siang itu tidak menjadi penghalang bagi puluhan ribu orang untuk berbondong-bondong memadati persisiran Pantai Gondoriah, Kota Pariaman Sumatera Barat. Dari kejauhan terdengar sayup sorak sorai gelak tawa orang ramai yang membanjiri persisir pantai tersebut, seakan ada satu pesta yang sedang rancak disambut.

Setelah semakin mendekati kawasan pantai, terlihatlah sekumpulan pemuda sedang mengarak dua menara yang terdapat replika patung di atas bahu-bahu mereka. Begitu meriah sekali keadaannya bilamana alunan muzik dan gendang berselang seli dimainkan, hingga pengunjung dibuai keasyikan.

Sudah menjadi tradisi bertahun lamanya di Kota Pariaman, setiap kali tiba bulan Muharam, masyarakat Minangkabau di kota ini pasti akan berkumpul meraikan pesta Tabuik.

Tabuik aslinya bukanlah dari bahasa Minangkabau, tetapi ia serapan dari perkataan Arab iaitu Tabut bermaksud kotak atau peti kayu. Ia merujuk pada peti kayu bersalut emas bekas menyimpan manuskrip kitab Taurat pada zaman Raja Talut. Kitab itu berupa lempengan batu yang tertulis di atasnya intipati Taurat.

Walau bagaimanapun di dalam pesta ini, bukan kotak kayu bersalut emas yang dibawa berarak. Sebaliknya warga Pariaman membawa dua replika menara tinggi yang terbuat dari buluh, kayu, rotan dan berbagai macam hiasan. Puncak menara adalah sebuah hiasan yang berbentuk payung besar. Manakala di beberapa bahagian sisi menara, terdapat jua hiasan berbentuk payung-payung kecil terpasang berjuntaian di kiri kanan.     

Tidak seperti lazimnya sebuah menara, bahagian sisi bawah tabuik dibuat satu patung yang menyerupai seekor kuda bersayap dua, dengan kepala berwajah wanita yang lengkap bertudung. Replika binatang ini kononnya terinspirasi dari seekor Buroq iaitu haiwan tunggangan Baginda s.a.w. sewaktu peristiwa Israk dan Mikraj.

Adapun perayaan ini hanya diraikan di dalam bulan Muharam sahaja, bermula satu hingga 10 Muharam. Tujuannya sebagai mengenang kembali peristiwa Karbala iaitu tragedi pembunuhan cucu Baginda s.a.w. saidina Hussain r.a.

Patung-patung buroq berbentuk kuda bersayap dengan wajah wanita yang banyak didirikan di Kota Pariaman

Awalnya amalan ini hanyalah ritual yang diraikan oleh kelompok muslim Syiah pada abad ke-19 Masihi yang datang ke Sumatera Barat. Ia dipelopori oleh segolongan pasukan tentera Tamil Muslim Syiah dari India yang dibawa masuk oleh Kerajaan Inggeris

Begitulah sambutan pesta Tabuik ini diraikan setiap tahun. Walaupun penulis tidak menyertai sambutan tersebut ketika kunjungan ke Kota Pariaman baru-baru ini, namun dari apa yang disampaikan penduduk kepada penulis, sudah cukup membuktikan bahawa warga Pariaman mempunyai gambaran dan persepsi yang salah tentang binatang buroq tunggangan Baginda s.a.w. 

Apatah lagi didirikan pula tugu-tugu replika tabuik di beberapa lokasi kota. Sudah pasti tindakan ini memberi persepsi mendalam bahawa buroq memang berkepalakan wanita, terutama kepada generasi mendatang.

Mana mungkin buroq mempunyai kepala dengan wajah wanita sedangkan dalam banyak hadis tidak langsung menyebutkannya. Ini tidak lain adalah propaganda yang cuba dilakukan oleh musuh-musuh Islam dalam usaha menghina dan memperlekehkan Baginda s.a.w. dalam bentuk kiasan. 

Bukan sekadar itu, tindakan untuk menyesatkan umat Islam ternyata berjaya terutama di kalangan umat Islam yang majoritinya beraliran sunni.  Lebih malang lagi pesta warisan syiah ini disambut semata-mata mengenang kembali peristiwa Karbala yang menjadi perayaan besar disambut oleh golongan Syiah.

Terdapat lapan pembahagian urutan acara perayaan Tabuik iaitu:

  1. “Mambuek Daraga” Daraga adalah sebuah rumah yang dibina khusus mempersiapkan tabuik. Lazimnya ia dibina tiga hari sebelum masuknya bulan Muharam dengan menggunakan buluh. Dua daraga akan dibina iaitu daraga pasa (balai) dan daraga subarang di wilayah yang berbeza. Bentuknya seakan benteng yang bersegi empat berukuran lima kali lima meter dan dikelilingi kain putih.
  2. “Maambiak Tanah” Seorang lelaki yang berasal dari keluarga pengurus tabuik mengambil segumpal tanah dari dasar sungai pada petang satu Muharam dengan memakai kain putih. Ia sebagai simbol kejujuran dari kepimpinan saidina Hussein r.a. Proses ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu kelompok tabuik pasa (balai) dan kelompok tabuik subarang. Pengambilan tanah pula bukanlah hanya mengambil tanah sahaja tetapi sebenarnya terkait dengan simbol dari pengambilan jasad Hassan dan Hussein yang mati syahid. Tanah itu akan dibungkus dengan kain putih seolah-olah mengkafankan kedua-dua cucu Baginda s.a.w. kemudian tanah itu diletakkan dalam sebuah periuk yang cantik dan dibungkus dengan kain putih juga dan diletakkan dalam daraga.
  3. “Manabang Batang Pisang” Dilakukan tanggal lima Muharam. Pada tengah malam penduduk kampung akan pergi ke hutan beramai-ramai untuk mencari pokok pisang. Dalam proses ini batang pokok pisang harus terpotong dalam satu tetakan. Manakala yang menebang pokok pisang mestilah lelaki yang berpakaian pencak silat. Kemudian batang pisang dibawa ke deraga dan ditanam. Proses ini melambangkan apa yang dilakukan oleh musuh-musuh Allah terhadap Hassan dan Hussein.
  4. “Maatam Panja” Proses ini dijalankan pada tujuh Muharam oleh penghuni daraga seusai solat Zuhur. Ia dilakukan dengan cara mengitari daraga sambil membawa peralatan untuk tabuik seperti panja (jari) pedang dan serban. Mereka mengelilingi daraga sambil menangis teresak-esak sebagai tanda kesedihan yang mendalam atas syahidnya Hassan dan Hussein.
  5. “Maraak Panja” dijalankan pada hari yang sama dengan maatam panja. Ia merupakan sebuah kubah yang terbuat dari kertas kaca dan bingkai buluh. Kertas itu digambarkan sebagai tangan dengan jari-jari yang terputus. Di dalam panja dinyalakan lilin. Panja akan diarak sekeliling kampung bagi memperlihatkan kepada seluruh masyarakat bagaimana kesedihan mereka sebagai menunjukkan bahawa jari-jari Hassan dan Hussein telah dipotong oleh musuh. Mereka juga akan menceritakan bagaimana kezaliman Khalifah Yazid bin Muawiyah terhadap Hassan dan Hussein.
  6. “Maarak Sorban” Proses ini dilakukan keesokan harinya iaitu lapan Muharam. Proses ini tidak jauh berbeza dengan maarak panja sebelumnya. Mereka berkeliling kampung sambil memperlihatkan bagaimana kejamnya Yazid bin Muawiyah kepada Hassan dan Hussein. Diiringi dengan pukulan gendang tasa dan diikuti oleh para lelaki yang mengenakan “tabuik lenong”. Proses ini melambangkan bahawa Hassan dan Hussein telah dipenggal seperti haiwan.
  7. “Tabuik Naik Pangke” dilaksanakan pada pagi hari 10 Muharam. Kedua-dua tabuik pasa dan subarang yang berada di dua wilayah berbeza akan dikeluarkan dari rumahnya dan dibawa berarak hingga bertemu. Setelah bertemu tabuik itu pun akan dipasangkan menjadi satu kesatuan tabuik yang utuh.
  8. “Hoyak Tabuik” ini peringkat yang paling meriah. Tabuik diarak oleh rombongan ke Pantai Gondoriah untuk dihanyutkan ke laut. Sudah menjadi kepercayaan mereka sisa-sisa tabuik dapat menjadi azimat atau tangkal bagi melariskan perniagaan. Oleh kerana itu tabuik yang dihanyutkan akan langsung diserbu oleh penduduk.

Sebagai umat Islam, kita dilarang sama sekali untuk mempercayai sebarang azimat atau tangkal kerana perbuatan tersebut merupakan dosa besar dan hukumnya syirik. Ini bersandarkan kepada hadis Baginda s.a.w. “sesungguhnya jampi-jampi, azimat-azimat dan guna-guna adalah syirik” (HR Imam Ahmad, Abu Daud & al-Baihaqi)

_______________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV.