Datuk Seri Hasni Mohammad merasmikan Majlis Kepimpinan Pusat Sahabat Usahawan AIM Wilayah Johor 2022 di Senai, hari ini

PERTUKARAN calon pada saat akhir selepas pengumuman dibuat tidak bererti individu terbabit tidak diterima atau tidak layak bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad berkata, pertukaran itu dibuat atas dasar kesesuaian calon yang diletakkan mengikut kriteria dan komponen utama bagi meraih kemenangan pada PRN Johor, 12 Mac ini.

“(Pertukaran calon) ia tidak bererti bahawa perubahan itu sebagai kaedah atau mendapati calon berkenaan tidak sesuai, ia bukan begitu.

“Ini adalah kerana kita mahu menggunakan pendekatan representasi wanita yang tinggi dan representasi orang muda yang sewajarnya selain meletakkan kelulusan akademik sebagai komponen penting (pemilihan calon),” katanya selepas merasmikan Majlis Kepimpinan Pusat Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Wilayah Johor 2022 di Senai, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan UMNO sebagai komponen BN mengumumkan pertukaran calon selepas pengumuman dibuat yang menyaksikan calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Balang dan Tanjung Surat ditukar.

Pertukaran itu melibatkan calon awal DUN Tanjung Surat, Datuk Syed Sis Abd Rahman yang digantikan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pengerang, Aznan Tamin, manakala Selamat Takin menggantikan Mohd. Helmi Abd. Latif di DUN Sungai Balang.

Baca artikel berkaitan: PRN Johor: 10 kriteria pilih pemimpin, pesan MCW kepada pengundi

Mengulas lanjut, Hasni yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor memberitahu, pertukaran calon itu adalah perkara biasa, malah turut dilakukan oleh rakan-rakan parti komponen BN.

“Pertukaran saat akhir itu dibuat atas semangat BN, kita lihat parti seperti MCA juga mengubah senarainya dan MIC juga berbuat demikian.

“Sudah tentu UMNO perlu membuat penyesuaian apabila kita mahu memuktamadkan pengagihan kerusi dalam BN,” katanya.

Ditanya mengenai terdapatnya penolakan sokongan daripada jentera selepas proses penamaan calon selesai, Hasni hanya memaklumkan bahawa jentera parti masih belum berfungsi sepenuhnya.

“Saya tidak nafikan bahawa jentera BN masih belum 100 peratus beroperasi dan pengalaman mengajar kita bahawa jentera sepanjang tempoh kempen ini sentiasa menggunakan kaedah mendekati pengundi secara berperingkat-peringkat.

“Kita membuat kajian di lapangan untuk menambah baik lagi pendekatan jentera BN dari semasa ke semasa,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram