Setiap kali tiba tanggal 27 Rejab dalam kalendar Islam, umat Islam akan mengingati peristiwa Israk Mikraj, peristiwa turunnya malaikat Jibril yang mengiringi perjalanan Rasulullah s.a.w naik ke langit.
Umat Islam sudah arif akan kisah perjalanan Rasulullah dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis (Israk) dan perjalanan Rasululullah dari Masjid al-Aqsa ke Sidratul Muntaha (Mikraj), yang membawa kepada kewajipan solat lima waktu.
Semua perjalanan itu hanya berlaku dalam satu malam, peristiwa luar biasa yang merupakan anugerah daripada Allah S.W.T sebagai tanda kebesaranNya.
Namun kali ini yang ingin kami soroti ialah kisah di sebalik Israk yang bermaksud ‘dibawa berjalan’. Dalam perjalanan Rasulullah bersama malaikat Jibril bermula dari Masjidil Haram sehingga ke Masjid al-Aqsa (Israk), baginda telah dipertontonkan dengan 13 peristiwa yang setiap satunya mempunyai makna dan pesanan untuk kita hayati.
Sebelum memulakan perjalanan, malaikat Jibril telah membedah dada Baginda dan hatinya dibersihkan dengan air zam-zam. Hatinya diisi semula dengan segala kebaikan iman dan hikmah sebelum dadanya dicantumkan semula.
Selesai dibedah, Allah datangkan sejenis binatang bernama Buraq untuk ditunggangi Rasulullah. Buraq adalah haiwan yang dihasilkan daripada cahaya dan mampu bergerak dalam sekelip mata.
Dengan menaiki Buraq, Rasulullah yang diiringi malaikat Jibril singgah di beberapa tempat iaitu negeri Thaibah atau Madinah, tempat di mana Rasulullah melakukan hijrah. Kemudian di Bukit Tursina di mana Nabi Musa a.s mendapat wahyu dan Baitul Laham iaitu tempat kelahiran Nabi Isa a.s. Di setiap lokasi persinggahan itu, Rasulullah mengerjakan solat 2 rakaat.
Dalam perjalanan Israk ini juga, muncul beberapa kejadian yang menjadi pesanan untuk diikuti dan dihayati oleh umat Islam. Ini 13 peristiwa yang disaksikan Rasulullah ketika perjalanan Israk…
1.Melihat kaum yang menanam padi dan sentiasa mendapat hasil tanaman mereka berlaku berulang kali.
Berkata Malaikat Jibril : “Itulah kaum yang berjihad dan digandakan pahala mereka sebanyak 700 kali ganda, bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.”
2.Rasulullah tiba di sebuah tempat yang berbau harum. Di situlah kubur Masyitah, pembantu Firaun yang dibunuh bersama suami dan anak-anaknya kerana tetap teguh beriman kepada Allah.
Berkata Malaikat Jibril : “Itulah balasan buat mereka yang percaya dan berpegang teguh kepada Allah.”
3.Rasulullah melihat sekumpulan orang yang memecahkan kepala mereka dengan batu. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka akan sembuh kembali sebelum dipecahkan lagi dan ia sentiasa berulang-ulang.
Berkata Malaikat Jibril : Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud.”
4.Bertemu dengan sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti haiwan dan makan bara api.
Berkata Malaikat Jibril : Itulah orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.”
5.Melihat kaum lelaki dan perempuan yang memakan daging mentah busuk sedangkan di sisi mereka ada daging yang elok telah dimasak.
Berkata Malaikat Jibril : “Itulah lelaki dan wanita yang berzina sedangkan mereka masing-masing mempunyai suami atau isteri.
6.Melihat lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontar dengan batu.
Berkata Malaikat Jibril : “Itulah orang yang makan riba.”
7.Bertemu lelaki yang menghimpun seberkas kayu yang tidak terdaya olehnya untuk dipukul, tetapi lelaki itu tetap degil malah menambahkan lagi jumlah kayu yang hendak dipikulnya.
Berkata Malaikai Jibril : “Itulah orang yang gagal memenuhi amanah yang diterima tetapi masih mahu menerima amanah yang lain.
8.Berjumpa satu kaum yang sedang menggunting bibir dan lidah mereka dengan gunting besi. Setiap kali digunting, bibir dah lidah mereka tumbuh semula dan mereka mengguntingnya lagi, begitulah berulang-ulang kali.
Berkata Malaikat Jibril : “Itulah orang yang suka membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.”
9.Menemui sekumpulan orang yang mencakar wajah dan dada mereka dengan kuku tembaga.Berkata
Malaikat Jibril : “Itulah orang yang suka mengumpat, menghina, mencela dan menjatuhkan maruah orang lain.
10.Melihat seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang sempit. Tetapi apabila lembu itu mahu memasuki semula lubang itu, ia gagal.
Berkata Malaikat Jibril : “Itulah orang yang bercakap besar kemudian menyesal tetapi penyesalannya sudah terlambat.”
11.Datang seorang wanita bersama dulang yang penuh perhiasan, tetapi tidak dipedulikan oleh Rasulullah.
Berkata Malaikat Jibril : “Itulah dunia. Jika diberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia berbanding akhirat.”
12.Datang seorang wanita tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasululullah berhenti. Sekali lagi Rasulullah tidak menghiraukannya.
Berkata Malaikat Jibril : “Itulah orang yang mensia-siakan usianya.
13.Datang seorang perempuan tua yang badannya bongkok tiga dan menahan Rasulullah.
Berkata Malaikat Jibril : Itulah gambaran umur dunia yang sudah tua dan menanti saat kedatangan hari kiamat.”

Daripada 13 peristiwa itu, terkandung pelbagai nasihat dan panduan untuk umat Islam menjalani kehidupan. Elakkan riba dan zina, patuhi amanah, jangan menghina dan menfitnah, jangan berasa bongkak dan jangan lupa membayar zakat.
Berjihadlah ke jalan Allah dan sentiasa berpegang teguh kepercayaan kepada Allah sebagai sang Pencipta yang satu. Solat jangan ditinggalkan, utamakan akhirat berbanding dunia. Usia jangan dipersia-siakan kerana dunia sudah sampai ke penghujungnya.
Jelas bukan pesanan di sebalik peristiwa yang disaksikan Rasulullah S.A.W semasa peristiwa Israk itu.
Salam Israk Mikraj buat pembaca semua.
___________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV.