BUKAN mudah sebenarnya untuk membuatkan penyanyi popular Datuk Hattan untuk kembali ke set penggambaran filem.

Meskipun dia mengakui kerja lakonan agak memenatkan berbanding karier nyanyian, namun cabaran itu disahut pelantun lagu Biso Benar itu demi Gadis Jolobu The Movie.

Menurut Hattan atau nama sebenarnya Mohd. Shukri Shahabudin,57, naskhah arahan CL Hor itu mengetengahkan dialek negeri kelahirannya, Negeri Sembilan sekaligus membuatkan dia tanpa ragu-ragu untuk menerima pelawaan tersebut.

“Filem terakhir saya ialah Rock Bro arahan Allahyarham Mamat Khalid. Saya sebenarnya memang tak mahu terlibat dengan lakonan sebab ia memenatkan.

“Tapi bila ditawarkan untuk menjadi sebahagian daripada barisan pelakon Gadis Jolobu The Movie, rasanya saya tak boleh tolak sebab naskhah ini mengangkat budaya dan dialek Negeri Sembilan.

“Sejujurnya filem berkisahkan tentang budaya kenegerian memang dah lama saya tunggu. Jadi saya fikir ini peluang terbaik untuk saya perjuangkan dialek Negeri Sembilan kepada semua.

“Sebelum ini dah ada filem negeri lain di buat sebagai contoh filem Anak Mami yang mengetengahkan dialek negeri Pulau Pinang dan Hantu Kak Limah, dialek Perak. Cuma dialek Negeri Sembilan saja belum pernah dibuat,” katanya kepada URTV.

Hattan ditemui pada majlis pelancaran filem Gadis Jolobu The Movei yang diadakan di Kuala Lumpur Jazz And Arts Centre (KLJAC).

Bercakap tentang cetusan idea filem berkenaan, kata Hattan semuanya bermula apabila pengasas dan Pengarah Zebra Studio, Saraleana Nattaya Azmi menghubungi tiga tahun lalu untuk menghasilkan filem yang memartabatkan budaya Negeri Sembilan.

“Idea itu tercetus selepas kejayaan lagu nyanyian saya bersama Waris menerusi lagu Gadis Jolobu mencatatkan tontonan hampir 10 juta di Youtube sekaligus membuktikan karya tersebut mendapat sambutan popular daripada peminat,” jelasnya.

Gadis Jolobu The Movie memulakn penggambaran di Kampung Lonek, Negeri Sembilan bermula hari ini dan dijangka akan ditayangkan di Golden Screen Cinemas pada Jun hadapan.

Bercakap tentang jumlah sambutan penonton yang akan hadir ke pawagam dikala musim Covid-19, Hattan bagaimanapun optimis dan yakin dengan aura filem berkenaan.

“Saya harap negara sudah beralih ke fasa endemik bila filem ditayangkan di pawagam. Kalau tidak, memang kasihan kepada penggiat seni serta kru belakang tabir yang bekerja untuk filem ini.

“Saya harap kerajaan dapat membantu. Kita juga sudah mendapatkan suntikan dos penggalak dan mengikut prosedur operasi standard yang disarankan.

“Cuma saya kurang pasti adakah penonton berani atau tidak untuk datang ke menonton di pawagam…kita hanya mampu berserah,” ungkapnya.

Selain berlakon, Hattan tuurt bertindak sebagai konsultan atau perunding yang akan memastikan dialek yang dituturkan oleh para pelakon tidak kedengaran pelik dan canggung.

Selain Hattan, pelakon Joey Daud, Khir Rahman, Nizam Laksamana, Ahirine Ahirudin dan Adam E (anak sulung Hattan) turut membintangi filem terbitan Zebra Studio Sdn.Bhd., dan Tremmendous Entertainment.

Naskhah ini mengisahkan tentang tiga bujang terlajak yang rapat sejak kecil dan berusaha mencari jodoh di kampung halaman.

Sumpahan ‘lambat sunat, lambatlah kahwin’ sering bermain dalam fikiran menyebabkan mereka berusaha mencari jodoh walaupun menghadapi pelbagai dugaan.

Ia turut mengetengahkan adat pepatih dan keunikan budaya Minangkabau masyarakat di Negeri Sembilan.