SCALEUP Malaysia, dengan kerjasama Quest Ventures, Indelible Ventures dan Mranti mengumumkan 11 syarikat pemula paling berjaya dan terpilih untuk menerima pelaburan hasil daripada penyertaan dalam program Kohort ketiganya.

Program Kohort 3 tersebut yang bermula pada Ogos 2021 berjaya menarik 200 permohonan syarikat pemula dari 26 negara termasuk Malaysia, Amerika Syarikat (AS), Indonesia, Singapura, Jepun dan Mesir.

Sebanyak 20 syarikat terpilih untuk menyertai Kohort 3 tersebut dan diletakkan ke dalam trek program pembangunan yang berasingan dan seterusnya memberikan mereka akses kepada syarikat Quest Ventures dan Indelible Ventures melalui kursus selama 16 minggu.

Syarikat yang dipilih oleh Quest Ventures untuk pelaburan bersama ialah GuruInnovatif, Open Academy, MadCash, SpareXHub, VireServe dan WaSushi. Sementara, Indelible Ventures pula memilih untuk melabur di Howuku, Kumo dan MidWest Composites.

ScaleUp Malaysia juga membuat pelaburan langsung kepada BizTech Asia dan RECQA, iaitu syarikat yang menyertai program Kohort Kedua sebelum ini. Quest Ventures dan Indelible Ventures juga dijangka akan mengumumkan satu atau dua lagi syarikat untuk dilabur selepas ini.

Rakan Pengurusan (Managing Partner) ScaleUp Malaysia, Xelia Tong berkata: “Tahniah kepada para usahawan hebat ini. Kami memuji mereka yang bercita-cita tinggi, pintar dan semangat yang mereka tunjukkan sepanjang program. Pada asasnya, ScaleUp Malaysia Accelerator menyasar untuk memupuk perniagaan, melonjak pertumbuhan mereka melangkaui sempadan tradisional dengan mewujudkan perniagaan yang mampu menggegar pasaran.”

Setiap syarikat akan menerima pelaburan sehingga AS$60,000 (RM250,000) bagi memastikan mereka mampu mengharungi cabaran perniagaan masa depan, memperkukuhkan kedudukan untuk pertumbuhan lanjut dan seterusnya mampu meneroka pasaran di seluruh Asia Tenggara. 

Quest Ventures telah menunjukkan komitmen untuk membangunkan ekosistem keusahawanan di Malaysia dan telah berjaya mengembangkan portfolio 16 syarikat di negara ini melalui perkongsiannya dengan ScaleUp Malaysia sejak 12 bulan lalu. 

Rakan Niaga Quest Ventures, Jeffrey Seah berkata: “Kami benar-benar percaya bahawa Malaysia mempunyai beberapa usahawan terbaik di rantau ini dengan bakat dalam inovasi dan keupayaan semula jadi dalam memahami budaya di pelbagai pasaran. Kami teruja untuk mengalu-alukan penyertaan enam syarikat baharu ini ke dalam portfolio kami dan akan bekerjasama untuk menyediakan perniagaan mereka di tahap berskala global.”

Indelible Ventures yang dilancarkan pada September 2021 merupakan satu inisiatif mencari syarikat teknologi pemula baharu di Malaysia yang mempunyai produk B2B sedia memasuki pasaran antarabangsa. Sehubungan itu, Indelible telah memilih tiga syarikat untuk melabur daripada Kohort ini.

Rakan Pengurusannya, Kevin Brockland berkata: “Tiga syarikat yang dipilih telah menunjukkan kemampuan yang luar biasa dalam membangunkan produk dengan potensi skala global dan mempunyai pengasas yang bersemangat untuk membina perniagaan inovatif hebat.  Kami berhasrat untuk menjadi juara dalam membangunkan potensi usahawan ini dan seterusnya memainkan peranan penting dalam mengangkat mereka ke pengetahuan pelabur.”

ScaleUp Malaysia melalui model Pegasus, menyasarkan untuk memupuk syarikat pemula dalam peringkat pertumbuhan dan pasca-pasaran ke dalam perniagaan berskala besar dengan pertumbuhan hasil yang tinggi dan peningkatan kadar keuntungan, dan seterusnya berupaya menarik pelaburan. 

Sejak 2019, ScaleUp Malaysia telah membina rekod prestasi yang terbukti dalam membantu syarikat peringkat pertumbuhan mendapatkan pembiayaan daripada pelabur terkemuka. Setakat ini, lebih 30 syarikat pemula telah menamatkan pengajian daripada program pemecut dan telah mengumpul modal lebih daripada AS$14 juta.

ScaleUp Malaysia juga telah membuka pendaftaran untuk syarikat-syarikat pemula yang berminat untuk menyertai program Kohort 4. Maklumat lanjut mengenai ScaleUp Malaysia dan pendaftaran program Kohort 4 boleh diperolehi di laman web: https://www.scaleup.my/

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram