PADA September 1960, Dr. Leonid Rogozov yang berusia 26 tahun mengikuti ekspidisi Antartik Soviet dan dihantar bertugas ke Stesen Penyelidikan Soviet Novolazarevskaya di Antartika. Beliau merupakan satu-satunya doktor dalam pasukan penyelidik seramai 13 orang itu.

Pada pagi 29 April 1961, Dr. Leonid merasakan tubuhnya lemah. Suhu badannya meningkat, berada loya dan sakit yang kuat pada bahagian kanan abdomennya.

Memandangkan di stesen penyelidikan itu tidak mempunyai pegawai perubatan selain dirinya sendiri, Dr. Leonid terpaksa mendiagnosis dirinya sendiri.

Hasil pemeriksaan, dia mendapati penyakit apendiks yang dihidapinya semakin parah. Dia perlu segera menjalani pembedahan. Jika tidak, ususnya yang membengkak akan pecah dan berisiko menyebabkan kematian.

Pada 30 April, tahap kesihatan Dr. Leonid semakin teruk. Dia terbaring lemah. Bantuan sukar untuk didapati dalam kadar segera, apatah lagi stesen penyelidikan terdekat dengan mereka berjarak lebih seribu kilometer jauhnya.

Dalam keadaan cemas dan jauh begitu, tiada pesawat yang dapat datang untuk membawa Dr. Leonid keluar dari kawasan itu untuk dibedah. Bertambah pula dengan keadaan cuaca yang buruk menyukarkan untuk bantuan tiba ke kawasan tersebut.

Dr. Leonid Rogozov terpaksa membedah dirinya sendiri.

Akhirnya, Dr. Leonid tekad untuk membedah dirinya sendiri. Memang itu kerja gila, tetapi hanya itu satu-satunya cara yang boleh menyelamatkan nyawanya. Hanya dia yang mampu melakukan pembedahan tersebut kerana tiada doktor lain di situ selain dirinya.

Sekitar pukul 8:30 malam, para penyelidik di stesen kajian itu membentuk beberapa pasukan untuk membantu pembedahan Dr. Leonid. Mereka menyediakan bilik pembedahan ringkas dengan  sebuah katil, dua meja dan lampu meja saja.

Dua ahli aerologi, Fedor Kabot dan Robert Pyzhov mensteril kain cadar dan semua peralatan pembedahan yang akan digunakan. Pencahayaan dalam bilik pula diubah kepada sinaran ultra violet.

Ahli meteorologi, Alexandr Artemev pula diberikan tugas sebagai tukang hulur alat pembedahan. Zinovy Teplinsky yang bertugas sebagai mekanik dipertanggungjawabkan memegang cermin dan menyesuaikan pencahayaan lampu meja. Manakala pengarah stesen itu, Vladislav Gerbovich pula membantu Dr. Leonid sekiranya berlaku kecemasan.

Pada 1 Mei 1961 pukul 2:00 pagi, Dr. Leonid memakaikan sarung tangan getah ke tangan para pembantunya. Dia kemudian naik ke atas katil dan memilih kedudukan separuh baring. Uat procaine sebanyak 20 mililiter disuntik ke bahagian abdomennya.

Selepas 15 minit, dia membuat hirisan sepanjang 10 hingga 12 sentimeter pada perutnya. Proses itu agak sukar dilakukan kerana keterbatasan penglihatan menyebabkannya sukar untuk mengagak kedalaman luka. Jadi dia perlu fokus pada cermin bagi mendapatkan belahan yang tepat.

Mata Dr. Leonid tercangak-cangak memerhatikan cermin sambil tangannya meraba-raba. Keadaan itu menyebabkannya cepat letih sehingga dia terpaksa berhenti seketika sebelum meneruskan pembedahan itu.

Selepas 30 hingga 40 minit berlalu, Dr. Leonid akhirnya berjaya mengeluarkan apendiks dari dalam perutnya. Dia melihat ketulan apendiks itu sudah agak kehitaman. Bermakna jika dia terlewat satu hari lagi, apendiks itu mungkin akan pecah dan boleh meragut nyawanya.

Dr.Leonid membedah dirinya sendiri.

Menurut Gerbovich yang menyaksikan pembedahan tersebut, sewaktu Dr. Leonid menghiris lapisan kulit perutnya hingga mendedahkan sebahagian isinya, pemandangan itu adalah sesatu yang mengerikan. Para penyelidik yang membantu pembedahan itu hanya mampu memalingkan wajah daripada melihat keadaan itu dengan darah yang membuak keluar.

Meskipun begitu, Dr. Leonid tetap tenang dan menumpukan sepenuh perhatian pada kerjanya sehinggalah dia selesai membuang apendiks itu dan menjahit semula belahan yang terbuka itu. Setelah itu, para petugas yang lain membantunya mencuci dan membersihkan abdomen Dr. Leonid.

Dr.Leonid membedah dirinya sendiri sambil dibantu petugas lain.
Dr. Leonid selepas selesai pembedahan.

Setelah semuanya selesai, Dr. Leonid mengambil ubat tidur dan berehat. Keesokannya, suhu badannya meningkat kepada 38.1 darjah selsius. Bimbang perkara buruk terjadi, dia terus mengambil ubat antibiotik.

Empat hari selepas itu, fungsi kumuhannya kembali normal. Dua minggu kemudian, Dr. Leonid sudah pulih sepenuhnya.

Setahun selepas itu, dia meninggalkan Antartika dan pulang semula ke Rusia. Dr. Leonid menyambung semula pelajaran ke peringkat PhD dan meneruskan kerjayanya sebagai pakar bedah sehinggalah dia meninggal dunia pada 21 September 2000 kerana menghidap kanser perut.

Walaupun sudah lama berlaku, namun keberanian Dr.Leonid yang membedah dirinya sendiri masih diperkatakan dalam dunia perubatan sehingga ke hari ini.

Walaupun sudah tiada, doktor dari Rusia ini masih diingati sehingga kini kerana keberaniannya.

_______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/