
“SAYA geli mendengar (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) bercakap dalam Dewan Rakyat bahawa kononnya hutang (1Malaysia Development Berhad) ditanggung kerajaan, tak perlu bayar satu sen pun.”
Demikian kata Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad yang membidas Ahli Parlimen Pekan yang mendakwa tiada satu pun wang rakyat digunakan untuk membayar hutang prinsipal 1MDB, semalam.
Dr. Mahathir mendakwa banyak wang kerajaan terpaksa digunakan untuk menghapuskan hutang dan faedah membabitkan 1MDB.
Atas dasar itulah, kata beliau, kerajaan kekurangan wang untuk membangunkan negara serta memberi khidmat kepada rakyat.
“Inilah Najib, hutang tak bayar (tapi) curi duit, tambah lagi hutang, sebab itulah orang ketawa terhadap dakwaannya yang dibuat dalam Dewan Rakyat.
“Najib ini satu manusia yang luar biasa, dia curi duit depan, dihadapkan ke mahkamah dan didapati bersalah tetapi dia tak malu,” katanya dalam program Aspirasi Johor di Felda Ayer Hitam, hari ini.
Baca artikel berkaitan: “Bukan saja tak amanah tetapi tak tahu malu” Muhyiddin bidas kenyataan terbaru Najib
Memetik laporan Astro Awani semalam, Najib ketika mengambil bahagian sesi perbahasan di Dewan Rakyat semalam berkata, tidak ada satu sen pun wang rakyat yang digunakan untuk membayar prinsipal hutang 1MDB.
Kata Ahli Parlimen Pekan itu, bayaran sebanyak RM16.4 bilion yang diterima daripada Goldman Sachs bukanlah wang rakyat sebaliknya itu adalah wang bank terbabit yang boleh digunakan untuk membayar hutang 1MDB.
Katanya, beberapa dana lain termasuk daripada Jabatan Kehakiman (DOC) Amerika Syarikat, Ambank, KPMG dan Deloittes yang kesemuanya berjumlah RM23 bilion juga bukan wang rakyat.
Turut hadir, calon Pejuang bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap, Datuk Dr. Shahruddin Salleh.
Dr. Mahathir turut menyeru pengundi di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menunjukkan kedewasaan menolak parti yang terpalit dengan rasuah.
Kata beliau, sekiranya pengundi tetap memilih UMNO mahu pun Perikatan Nasional (PN) tiada perubahan yang dapat dinikmati dari segi pentadbiran negeri Johor.
“Mereka ini terperangkap dengan dasar iaitu apabila memerintah mereka lihat peluang utk curi duit dan rakyat menderita terpaksa bayar hutang yang banyak,” jelas beliau.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram