TIDAK pernah rasa malu berniaga di tepi jalan, pelakon dan penyanyi terkenal, Bienda atau nama sebenar, Nor Razlinda Razli, 37, bersyukur pernigaannya semakin berkembang selepas tular di media sosial.
Menurut Bienda, perniagaan Papa Pau itu mula diusahakan sejak Disember lalu dan dia membuka gerai jualan yang terletak bersebelahan stesen pam minyak Petronas di Jalan Kuching, Kuala Lumpur.
“Kita nak cari rezeki yang halal, jangan ada rasa malu. Malu itu kita kena ada seperti malu untuk jaga adab, pemakaian dan aurat sebagai perempuan.
“Saya nak buktikan kepada semua orang yang saya boleh berniaga dalam keadaan panas.
“Saya tahu, mereka di luar sana juga boleh lakukan yang lebih baik daripada saya,” katanya ketika dihubungi URTV.
Tambahnya lagi, keadaan cuaca yang panas ketika berniaga merupakan satu cabaran yang perlu dilalui oleh pelantun lagu Penantian itu.
“Kalau tanya panas atau tidak, sudah semestinya panas. Pada waktu pagi tak panas sangat tapi bila sudah tengahari, panas sangat, muka jadi ‘sunburn’.
“Malah, bukan sahaja ketiak yang berpeluh tetapi seluruh badan juga basah bermandikan peluh,” ujarnya.
Dalam pada itu, menurut Bienda ketika memulakan perniagaan, ada pelanggan yang tidak mengenali dirinya yang merupakan seorang selebriti.
Namun, Bienda tetap bersyukur kerana pelanggannya bermurah hati dengan memberi duit lebihan baki sebagai sedekah.
“Ada yang kenal dan ada yang tidak kenal sebab kadangkala saya tidak bersolek bila pergi berniaga.
“Bahkan, ada orang yang datang beli pau saya dengan harga RM10, mereka akan bayar RM50 dan minta baki wang tersebut disimpan.
“Duit baki itulah saya akan jadikan sebagai infaq. Duit tersebut akan diberikan kepada orang yang lebih memerlukan. Jadi, kami akan kongsi rezeki bersama orang lain,” tambahnya.
Untuk info, Papa Pau didatangkan dengan sembilan jenis inti iaitu coklat, kaya, kacang merah dan kelapa pada harga RM2, kari ayam dan daging pada harga RM2.50, sambal bilis dan cendawan karbonara pada harga RM3.50 serta keju bologna berharga RM4.