Ahmad Zahid Hamidi memberikan ucapan kepada jentera dan pengundi sewaktu berada di PDM Kota Kecil Timur dan Barat di Kota Tinggi semalam./Gambar FB UMNO Online

PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyindir manifesto Pakatan Harapan (PH) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai ‘ketandusan idea’.

Sambil memberi contoh enakmen anti lompat parti, Ahmad Zahid berkata, PH menawarkan perkara yang serupa dengan Barisan Nasional (BN).

“Sebelum ini mereka lantang menuduh kita dengan bermacam-macam gelaran dan fitnah. Hari ini, tanpa rasa malu, mereka cedok segala usaha dan iltizam kita.

“Nampak benar yang mereka sudah ketandusan idea,” kata Pengerusi BN itu menerusi Facebook beliau hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, manifesto BN progresif dan semasa BN mengumumkan 5 Ikhtiar Utama untuk Johor pada 1 Mac lalu, kestabilan politik menjadi fokus.

“Enakmen Anti Lompat Parti adalah iltizam kita bagi memastikan kestabilan politik. Malah BN turut menawarkan dasar yang mewajibkan semua ADUN mengisytiharkan harta kepada SPRM,” kata beliau.

Baca: PRN Johor: Enakmen lompat parti, kalau dari Amanah masuk PKR macam mana?

PRN Johor: Bukan janji manifesto, tapi ini Ikhtiar BN Johor

Justeru, tegas Ahmad Zahid, dalam hal ini sangat jelas bahawa dasar BN adalah sesuatu yang menepati keperluan Johor dan rakyatnya.

“Pada saya, biarlah rakyat yang menilai dan menghukum mereka pada 12 Mac nanti.

“Yang pasti, BN akan terus berikhtiar membawa Kestabilan Masa Depan,” jelasnya.

Pada majlis pelancaran manifesto PH yang dikenali Tawaran Tindakan itu, Pengerusi Amanah negeri, Aminolhuda Hassan ditanya mengenai persamaan dalam beberapa perkara dengan manifesto lawan.

Beliau berkata, apa yang ditawarkan kelihatan agak sama tetapi sebenarnya berbeza dengan PH mengutamakan rakyat, bukan parti politik.