SEMUA murid sekolah menengah harian perlu hadir ke sekolah tanpa penggiliran bagi sesi persekolahan penggal pertama 2022/2023 mulai 4 April depan.
Bagaimanapun, apabila penggal persekolahan dibuka pada 21 Mac ini, semua murid berkenaan akan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) selama dua minggu terlebih dahulu.
Perkara tersebut dimaklumkan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin menerusi video menerangkan pengoperasian sekolah sesi akademik 2022/2023 yang dimuat naik ke Facebook, hari ini.
Bagi pengoperasian di sekolah rendah pula, Mohd. Radzi memaklumkan, hanya murid Tahun 3, 4 dan 5 akan hadir ke sekolah secara penggiliran di sekolah yang mempunyai murid melebihi 600 orang.
Kata beliau, murid berkeperluan khas (MBK) di sekolah kebangsaan pendidikan khas (SKPK) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI); prasekolah; Tahun 1, 2, 6 dan semua murid penerima rancangan makanan tambahan (RMT) hadir tanpa penggiliran.
Mohd. Radzi memaklumkan, ketetapan itu juga terpakai kepada murid sekolah swasta termasuk sekolah ekspatriat dan antarabangsa.
“Bagi sekolah yang mempunyai jumlah murid kurang daripada 600 orang, semua murid sekolah rendah harian dan swasta termasuk sekolah ekspatriat serta antarabangsa hadir tanpa penggiliran.
“Sekolah rendah swasta termasuk sekolah ekspatriat dan antarabangsa dengan enrolmen melebihi 600 orang pula boleh mengemukakan permohonan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) untuk beroperasi sepenuhnya,” katanya dalam video tersebut.
Baca artikel berkaitan: SPM: Calon positif COVID-19 akan duduki sidang kedua April – Radzi
Mengulas mengenai pengoperasian bagi sekolah berasrama sepenuhnya, Mohd. Radzi memberitahu, semua murid kecuali murid baharu Tingkatan 1 dibenarkan masuk ke asrama bermula 4 April.
Katanya, murid Tingkatan 1 yang berjaya memasuki sekolah berasrama sepenuhnya boleh memilih untuk menjalani PdPR atau menumpang di sekolah harian berdekatan kediaman.
Mohd. Radzi berkata, perkara itu akan berterusan sehingga tarikh kemasukan ke sekolah berasrama penuh bagi murid Tingkatan 1 diumumkan KPM.
“Bagi sekolah swasta berasrama sepenuhnya yang mempunyai kapasiti menguruskan keseluruhan murid, sekolah boleh beroperasi sepenuhnya termasuk murid baharu Tingkatan 1.
“Sesi pembelajaran di Kolej Vokasional pula akan berlangsung tanpa penggiliran manakala di Kolej Matrikulasi, semua murid akan hadir tanpa penggiliran mengikut takwim akademik masing-masing.
“Ini bermakna bagi sistem empat semester, murid semester 2 dan 4 akan hadir sementara bagi sistem dua semester, hanya murid semester 2 akan hadir,” jelas beliau.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram