Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay sempat melakukan kunjungan hormat terhadap Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat sebelum proses pengundian awal di IPK Johor, Johor Bahru. GAMBAR: FB JSJN PDRM

PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay turut tidak terlepas menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, hari ini. 

Ayob Khan yang merupakan bekas Ketua Polis Johor tiba kira-kira pukul 9.30 pagi untuk mengundi awal di Dewan Dato’ Onn, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru. 

Menurut Ayob Khan, beliau berkesempatan mengundi dalam PRN Johor kali ini kerana tidak sempat menukar alamat selepas ditukarkan semula ke Bukit Aman, Januari lalu. 

Beliau berkata masih mengundi di Johor kerana tempoh penukaran alamat pengundian adalah tiga bulan. 

“Tempoh untuk tukar alamat adalah tiga bulan. Saya tak sempat nak tukar (alamat). 

“Sebab itu saya masih lagi mengundi di Johor, selepas ini kita tukar ke Kuala Lumpur balik,” katanya. 

Baca artikel berkaitan: PRN Johor: Fikri bawa idea ‘muda’ dari MUDA untuk Parit Raja

Pada masa sama, Ayob Khan turut melihat perjalanan pengundian awal berjalan lancar dengan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP). 

Sementara itu, beliau turut mengakui merindui suasana kerja dan bertugas di Johor apatah lagi beliau memegang jawatan sebagai Ketua Polis Johor selama dua tahun. 

“Cabaran berbeza. Mestilah rindu Johor, takkan tak rindu, dua tahun di sini,” katanya. 

Ayob Khan kembali semula ke Bukit Aman selaku Pengarah JSJN menggantikan Datuk Razaruddin Husain yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara, penghujung tahun lalu. 

Jawatan Ketua Polis Johor kini digalas Datuk Kamarul Zaman Mamat yang merupakan Ketua Polis Kedah sebelum ini.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram