
SEPERTI mana sebahagian kawasan pilihan raya di Johor, Ledang tidak terkecuali menyaksikan Pakatan Harapan (PH) ‘sapu bersih’ kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.
DUN Tangkak (MCA), DUN Serom (UMNO) dan DUN Gambir (MIC) selain Parlimen Ledang (UMNO) terlepas kepada PH hinggakan gabungan itu berjaya menubuhkan kerajaan negeri Johor dan Persekutuan.
Kedukan Ledang sama seperti Pagoh dan kebetulan terdapat sentuhan dari pemimpin yang sama itu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mana untuk kerusi DUN, Presiden Bersatu itu bertanding di Gambir pada PRU lalu.
Kali ini, Gambir ditandingi Mohd Solihan Badri yang juga calon heavyweight bagi Perikatan Nasional (PN) Johor – bekas Exco dan turut disebut-sebut antara calon Menteri Besar PN.
Bagi Barisan Nasional (BN), parti itu meletakkan seorang peguam dan anak tempatan, Sahrihan Bin Jani atau dikenali ‘SBJ’ yang merupakan bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ledang.
Sahrihan, 44, dan jenteranya sememangnya bertekad mahu menyumbang kemenangan buat BN dan UMNO di kerusi itu.
Apatah lagi, UMNO mengambil alih kerusi berkenaan daripada MIC yang menang di situ sehinggalah tsunami politik melanda pada 2018.
Sejak DUN Gambir diwujudkan pada 2004, BN mencatatkan kemenangan selesa namun ia berubah pada 2013 apabila calon BN menang dengan majoriti 310 undi dan seterusnya pada 2018 hilang kerusi itu kepada Muhyiddin dengan majoriti melebihi 3,088 undi.
Ledang merupakan antara bahagian yang cukup signifikan dengan politik Johor kerana sebelum ini, ia diketuai bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Ghani Othman yang juga bekas ADUN Serom.
Bercakap mengenai peluang, Sahrihan berkata, kekuatan UMNO dan BN terletak kepada khidmat bakti membantu rakyat yang bukan hanya diberikan dalam tempoh kempen tetapi berterusan sejak selepas PRU-14 meski pun di pihak yang tewas.
Katanya, apabila BN diwakili UMNO di Gambir, peluang ini dilihat bertambah cerah untuk meneruskan tradisi sejak 2004.
“Jenama BN dekat di hati mereka dan melihat BN satu-satunya gabungan parti yang dipercayai untuk bawa kestabilan kepada politik dan ekonomi rakyat,” katanya kepada UtusanTV.
Mengenai calon lawan terutama PN yang menampilkan bekas Exco kerajaan negeri yang juga Ketua Penerangan PN Johor, Sahrihan berkata, peluang itu adalah sama rata bagi setiap rakan calon.
“Semuanya terpulang kepada pengundi. Sebab itu, walau calon MB (lawan), saya tidak gentar,” ujarnya tanpa menafikan jika Muhyiddin mempertahankan Gambir cabarannya makin sengit.
“Tetapi peluang tetap ada. Kerana kami (UMNO dan BN) telah melakukan kerja di peringkat akar umbi sejak sekian lama,” jelasnya.
Selain jentera BN dan UMNO tempatan, Sahrihan juga dibantu dengan kehadiran nama-nama besar daripada BN.
Semalam sahaja misalnya, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa ada di DUN Gambir. Hari ini Ahli Parlimen Pekan.

Dan ini bukan hanya di pihak BN, di pihak PN dan PH juga sama.
Baca: PRN Johor: Kempen harmoni di pasar pagi Parit Yaani, Puteri UMNO dapat bunga dari calon PH
Pemimpin kanan Bersatu juga berada di DUN Gambir kelmarin, antaranya Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Ternyata Gambir salah satu kerusi tumpuan pada PRN Johor. Seperti kata Sahrihan, peluang setiap calon masih terbuka.
Bagi Solihan, beliau mahu menang di DUN Gambir pada 12 Mac ini untuk meneruskan khidmat bakti Muhyiddin buat pengundi termasuk dari sudut ekonomi seperti mewujudkan kawasan indstri ringan.
Selain Solihan dan Sahrihan, dua lagi calon turut menawarkan diri iaitu Naim Jusri (PKR) dan Suraya Sulaiman (Pejuang).
Malah, Naim dalam temu bual media baru-baru ini optimis landskap pada pilihan raya terdahulu juga berjaya mengubah sikap dan pemikiran rakyat yang inginkan perubahan.
Tanpa memperkecilkan kemampuan dua lagi calon, ramai melihat saingan sebenar terarah antara Sahrihan dan Solihan.
Tetapi saingan sengit boleh diberikan terutama calon PKR di kerusi majmuk seperti Gambir dengan 60 peratus pengundi Melayu, 37 peratus Cina dan 3 peratus India.
Justeru, apakah undi Melayu akan berpecah antara BN dan PN yang membolehkan PKR muncul meraih laba andai trend PRU-14 iaitu sokongan kuat pengundi bukan Melayu masih diperoleh mereka?
Atau sejarah PRU-14 tidak mampu diulangi? Apa pun, BN, PN mahu pun yang lain-lain perlu terus kerja kuat kerana semua berpeluang.
Selepas Datuk Seri Najib Tun Razak singgah di DUN Gambir hari ini, giliran Datuk Seri Anwar Ibrahim pula berkempen di DUN yang pada PRU-14 dimenangi Muhyiddin.