
HUJAN renyai pada sebelah pagi tidak menghalang anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menunaikan tanggungjawab mereka mengundi dalam proses pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15, hari ini.
Antaranya ialah bekas Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, yang kini Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, yang mengundi di Dewan Dato’ Onn, Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor.
Ayob Khan berkata beliau masih mengundi di Johor untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Stulang kerana tempoh untuk menukar alamat pengundiannya setelah dipindahkan ke Bukit Aman berkuat kuasa 25 Jan lepas, akan mengambil masa tiga bulan.
“Tetapi selepas ini akan tukar ke sana (Kuala Lumpur),” kata Ayob Khan yang berkhidmat sebagai Ketua Polis Johor dari Mac 2020 hingga Jan 2022. Sebelum ini, beliau merupakan Ketua Penolong Pengarah E8 Cawangan Khas Bukit Aman.
“Jika ditanya rindu Johor atau tidak, mestilah saya rindu tak kan tidak rindu, dua tahun saya berkhidmat di sini,” kata personaliti polis yang sentiasa menarik perhatian itu kerana mengendalikan kes-kes penting.
Turut meninjau proses pengundian awal di IPK Johor ialah Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat serta Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak.
Sebanyak 63 pusat mengundi dibuka bagi proses pengundian awal yang bermula 8 pagi hingga 5 petang.
Lebih 22,000 anggota pasukan keselamatan terdiri daripada ATM, PDRM dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan masing-masing layak mengundi hari ini.
Selain kemudahan di IPK Johor, 10 Ibu Pejabat Polis Daerah di seluruh negeri serta beberapa pejabat kerajaan turut dijadikan sebagai pusat mengundi.
Anggota tentera melaksanakan undi awal di Kem Mahkota, Kluang; Kem Tebrau, Ulu Tiram; Kem Batalio Ke-10 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Batu Pahat dan Kem Rejimen Keempat Artileri Diraja (4RAD), Segamat.
Menurut SPR, sebanyak 39 peratus telah keluar menunaikan tanggungjawab mereka setakat 11 pagi hari ini.
Seramai 239 calon bertanding merebut 56 kerusi pada PRN kali ini.
Hari pengundian PRN Johor ditetapkan pada 12 Mac (Sabtu) ini.

Baca artikel berkaitan: PRN Johor: Ayob Khan tunai tanggungjawab undi awal, akui rindu Johor
Di MUAR, Dewan Perumahan Polis Parit Perupok IPD Muar, Dewan Serbaguna Batalion 6 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bakri dan Bilik Maklumat Balai Polis Parit Jawa antara yang dijadikan pusat pengundian awal.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip ketika ditemui selepas mengundi di Dewan Perumahan Polis Parit Prupok, IPD Muar berkata proses pengundian awal di pusat pengundian itu berjalan lancar dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam suasana norma baharu.
“Terdapat juga khemah disediakan di sini bagi membolehkan mana-mana anggota dan pegawai disaring sebelum mengundi,” katanya sambil menambah terdapat 573 pengundi layak mengundi di pusat pengundian tersebut.
Pengundi kali pertama, Konstabel Rahimi Ramli, 24 berkata beliau teruja untuk melaksanakan tanggungjawab mengundi hari ini meskipun terpaksa beratur selama dua jam setengah.
Beliau yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan dan telah berkhidmat di IPD Muar selama tiga tahun adalah pengundi yang didaftar secara automatik oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Saya bangun seawal pukul 6 pagi untuk bersama-sama anggota lain mengundi, semestinya saya berasa teruja kerana dapat merasai pengalaman mengundi buat kali pertama,” katanya.

Antara yang hadir di pusat mengundi awal bagi DUN Maharani itu ialah calon Barisan Nasional, Noor Farah Shamsudin, Abd Aziz Talib (Perikatan Nasional), Nor Hayati Bachok (Pakatan Harapan), Riad Ahmad (Parti Pejuang Tanah Air) dan Muhammad Hanis Asmui Md Salleh (Parti Bangsa Malaysia).
Dewan Serbaguna Batalion 6 PGA Bakri merupakan pusat mengundi awal bagi DUN Bentayan dan DUN Bukit Naning, dengan tiga saluran iaitu satu saluran DUN Bentayan dan dua saluran DUN Bukit Naning, melibatkan seramai 976 pengundi awal.
Turut kelihatan di dewan serbaguna itu ialah empat daripada lima calon DUN Bukit Naning iaitu calon PKR, Ysahrudin Kusni; calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohd Fuad Tukirin; Mahadzir Abu Said (Perikatan Nasional) dan S. Jeganathan (Bebas).
Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati proses pengundian awal di Kem Mahkota Kluang, IPD Mersing dan IPD Batu Pahat berjalan lancar.
Kesemua anggota polis dan tentera yang hadir dilihat mematuhi SOP yang ditetapkan dan tidak berlaku sebarang kesesakan pengundi pada satu-satu masa.
Bagi Daerah Kluang, seramai 4,748 pengundi awal yang terdiri daripada tentera dan pasangan serta 446 anggota polis dan pasangan layak mengundi, sementara 631 pegawai dan anggota polis di IPD Batu Pahat dan lebih 300 pegawai dan anggota di IPD Mersing.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing berkata pihaknya menerima dua laporan melibatkan kejadian khianat bendera parti di sekitar kawasan Felda Nitar dengan kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram