ciri kasyaf dari syaitan

Apabila membicarakan berkaitan ilmu kasyaf, perlu berhati-hati kerana kasyaf tersebut ada kalanya datang daripada Allah dan tidak kurang juga daripada syaitan. Dan antara ciri-ciri kasyaf daripada syaitan ialah:

Pertama: Ia berlaku sentiasa. Maksudnya ada syaitan dalam badan seseorang. Dan syaitan tersebut menggunakan mata orang tersebut untuk mengetahui sesuatu perkara. 

Kedua: Boleh diprogramkan. Sebagai contoh, seseorang yang memejamkan matanya untuk mencari barang yang hilang. Dan dengan sekelip mata, dia tahu di mana kedudukan barang yang hilang tersebut. 

Ketiga: Hilang dengan sebab. Misalnya, seseorang yang memperoleh kasyaf daripada syaitan, apabila berada di dalam kumpulan wali Allah, maka kuasa syaitan itu tidak berfungsi. Panggillah apa sahaja nama syaitan itu untuk menjalankan tugas-tugasannya, maka ia tidak akan berlaku. 

Menurut Dr. Jahid Sidek, Pengasas Pusat Rawatan Manarah turut menceritakan kisah seorang ulama sufi yang kehairanan apabila anak-anak muridnya tidak lagi mengikuti pengajiannya. Lalu apabila terserempak dengan anak muridnya itu, ahli sufi itu pun bertanya, ke mana perginya mereka? 

Lalu dijawab, mereka pergi ke padang pasir untuk beramal kerana dengan cara itu mereka dapat terus masuk syurga. 

Perasaan ingin tahu membuatkan sufi tersebut meminta izin untuk mengikuti anak muridnya. Dan apabila tiba di kawasan berkenaan, maka ternampak olehnya pokok-pokok, orang-orang berjubah hijau, berserban sebagaimana orang alim, berjanggut dan bertasbih.

Pun begitu sebaik si sufi terpandang ke bawah, didapati orang-orang tersebut memiliki kaki kuda dan kaki unta. Keesokan harinya, didapati tempat tersebut adalah sebuah kandang binatang yang penuh dengan najis!

Moral daripada cerita tersebut, usah mudah mempercayai sekiranya ada orang mendakwa bahawa dia seorang yang kasyaf. Sebaliknya, berhati-hati agar tidak mudah terperangkap dengan tipu helah syaitan.  

Syaitan akan melakukan apa sahaja helah untuk menghancurkan manusia dari beriman kepada Allah

Ujar Dr. Jahid, ilmu dan amalan tasawuf menggalakkan manusia supaya dapat kurnia daripada Allah karamah mukasyafah. Bagaimanapun mukasyafah yang dikehendaki ialah terkasyafnya berbagai aib atau sifat-sifat jahat yang ada dalam diri manusia yang biasanya terbahagi kepada tiga bahagian

Pertama: `Uyub al-Nafs – yang berpunca daripada dorongan shahwat jasmani seperti makan, minum, pakaian, rumah yang cantik, harta, perkahwinan dan sebagainya.

Kedua: `Uyub al-Qalb – yang berpunca daripada dorongan-dorongan jahat hati yang menimbulkan berbagai sifat yang tercela seperti yang sedia maklum.

Ketiga: `Uyub al-Ruh – yang berpunca daripada kehendak-kehendak yang tersembunyi di dalam roh yang nampaknya baik tetapi buruk seperti mencari kekeramatan, mahukan kedudukan yang baik, mahukan berbagai maqam hati, mahu menjadi wali Allah dan sebagainya.

Ibn `Ata’illah menegaskan mengenai mukasyafah tersebut dengan katanya, “Kehendak hati anda untuk mengetahui berbagai aib yang tersembunyi di dalam diri anda adalah lebih baik daripada cita-cita dan kehendak hati anda untuk mengetahui perkara-perkara yang ghaib yang terlindung daripada pengetahuan anda.”

Berdasarkan kepada kata-kata Ibn `Ata’illah tersebut, jelas menyebutkan kasyaf suwariyyah iaitu nampak dan mengetahui perkara-perkara yang sedang berlaku, telah berlaku dan akan berlaku tidak dikehendaki di dalam ilmu tasawuf.

Biasanya mereka yang terlibat dalam kegiatan tersebut ialah mereka yang menggunakan khidmat jin dan syaitan, yang telah wujud dengan meluas di zaman jahiliah. Kegiatan mereka diperangi oleh Islam. Golongan ini dikenali dengan al-munajjimun, al-`arraf, al-kahin dan lain-lainnya.

Dalam budaya Melayu mereka ini adalah golongan tukang-tukang tilik yang terdiri daripada pawang atau bomoh yang menggunakan khidmat-khidmat jin atau syaitan.

Justeru, Allah menegaskan kepada Rasulullah s.a.w. supaya Baginda memberitahu umatnya bahawa dirinya tidak tahu yang ghaib sebagaimana firman Allah dalam surah al’A’raf: 188

“Katakanlah: “Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diri ku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. dan kalau Aku mengetahui perkara-perkara Yang ghaib, tentulah Aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) Aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman”. Wallahu a’lam

________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare