PERNAH dijangkiti virus Covid-19 akhir Februari lalu, aktres Rozita Che Wan mengakui sehingga kini dirinya masih paranoid setiap kali dikelilingi ramai orang.

Menurut Rozita yang mesra disapa Che Ta,49, dia mengalami perasaan ‘takut-takut’ itu kerana enggan lagi dijangkiti wabak yang sama buat kali kedua.

Malah, apabila diundang ke acara keramaian, isteri kepada pelakon Zain Saidin itu mengambil langkah berjaga-jaga dengan meminta pereka fesyen untuk menyiapkan busana yang ‘mesra’ prosedur operasi standard (SOP).

“Rekaan pada bahu baju saya ini bukan direka sekadar suka-suka tapi demi mengelak orang berhimpit dengan saya.

“Ia dibuat demi menjaga keselamatan saya dan pada masa sama nak menjaga penjarakan sosial ketika sesi bergambar,” katanya kepada URTV.

Che Ta berkata demikian ketika ditemui pada majlis memperkenalkannya sebagai duta kempen Jols Luxe Fabrics for Rozita Che Wan sempena Hari Wanita Sedunia di sebuah hotel di ibu negara, semalam.

Tambah Che Ta, jika berada di set penggambaran, dia akan memastikan semua pelakon yang terlibat dan kru produksi mematuhi SOP dan sentiasa memakai pelitup muka.

“Walaupun yang berada di lokasi penggambaran itu memang sudah buat ujian saringan Covid-19, saya sentiasa ingatkan merea untuk memakai pelitup muka.

“Kalau pelakon tersebut sedang menunggu giliran untuk masuk set, saya akan ingatkan pada mereka untuk tidak tanggalkan pelitup muka selagi belum sampai gilirannya,” ujarnya.

Berkongsi episod hitam selama 10 positif Covid-19 bermula 23 Februari lalu, Che Ta memberitahu ia meninggalkan kesan mendalam pada dirinya.

Semuanya bermula saat dia menjayakan penggambaran Mai Cheq Deco dan pelakon dan penyanyi Han Byul disahkan positif Covid-19 selepas program terbabit.

“Pengurus hubungi saya sehari selepas penggambaran dengan Han Byul dan meminta saya buat ujian calitan (swab test). Saya terus ke klinik dan hasil keputusannya negatif.

“Bagaimanapun pada malamnya, saya mula rasa sakit badan dan diikuti gejala lain seperti sakit kepala, cirit birit, muntah, batuk, demam dan selsema.

“Sepanjang 10 hari kuarantin, saya memang tak larat bangun apatah lagi hendak tengok telefon,” kongsinya.

Sementara itu, Pengasas Jols Luxe Fabrics, Johan Lim berkata, dia dan isterinya, Alia @ Sri Hadia memilih Che Ta sebagai duta kempen untuk memberi inspirasi dan membantu golongan ibu tunggal di luar sana.

“Daripada 10 peratus hasil jualan, kami akan salurkan kepada persatuan ibu tunggal terpilih. Kami ingin membantu mereka bangkit dan teruskan kehidupan dengan lebih baik,” katanya.

Menurut Alia pula, daripada 13 koleksi yang dikeluarkan untuk edisi tersebut direka sendiri dengan berdasarkan personaliti Che Ta.

“Semua rekaan dibuat selepas melihat karakter Che Ta. Walaupun ada yang kata dia seorang diva, tetapi telahan itu sebenarnya tidak betul sebab dia senorang yang baik dan senang untuk beri kerjasama.

“Dia seorang yang menepati masa selain bekerja dengan bersungguh-sungguh. Itu antara faktor utama kenapa dia terpilih dan kami rasa sesuai bagi mewakili kempen sambutan Hari Wanita Sedunia dibawah jenama Jols Luxe Fabrics,” jelasnya.